DALAM landskap global yang semakin kompleks dan tidak menentu, Malaysia sedang meniti satu fasa penting - membina semula asas kenegaraan dengan pendekatan yang lebih mampan, telus dan inklusif.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gagasan Kerajaan Madani, usaha ini bertumpu kepada nilai tanggungjawab bersama. Ia bukan sahaja amanah kerajaan tetapi satu peranan yang wajib dipikul oleh seluruh warga Malaysia.
Salah satu tunjang utama dalam membina negara yang berdaya tahan ialah sistem percukaian yang adil. Ia bukan sekadar alat pungutan hasil, tetapi mekanisme agihan kekayaan negara yang lebih saksama.
Sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) contohnya, dirangka untuk tidak menindas rakyat berpendapatan rendah.
Keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan dikecualikan manakala barangan mewah dan import dikenakan cukai bersasar. Prinsip ini mencerminkan usaha kerajaan untuk melindungi rakyat marhaen, sambil memastikan kewangan negara terus mengukuh.
Membayar cukai bukan sekadar kewajipan undang-undang, tetapi juga satu bentuk patriotisme ekonomi iaitu tanda sokongan dan kesetiaan kepada negara dalam bentuk yang sangat praktikal. Ia bukan beban jika dilihat dari sudut tanggungjawab sosial dan nasional.
Ia adalah pelaburan bersama dalam masa depan Malaysia. Setiap ringgit yang dibayar, jika diurus dengan baik, memberi pulangan dalam bentuk kemakmuran dan kestabilan negara. Maka, membayar cukai adalah tindakan patriotik yang harus dibanggakan, bukan dikeluh-kesahkan.
Namun dalam suasana ekonomi dunia yang semakin mencabar, kerajaan terpaksa membuat penyelarasan cukai dan keputusan ini bukanlah langkah populis, sebaliknya merupakan tindakan radikal dan berani yang perlu dilakukan demi kepentingan jangka panjang.
Keputusan populis sering bersifat sementara, bertujuan meraih sokongan rakyat dalam jangka pendek seperti mengekalkan kadar cukai rendah walaupun beban hutang negara meningkat.
Sebaliknya, penyelarasan cukai yang dilakukan kerajaan, seperti mengkaji semula struktur cukai dan penstrukturan subsidi, memerlukan keberanian politik dan ketelusan pentadbiran kerana ia berisiko menimbulkan rasa tidak popular dalam kalangan rakyat.
Ia adalah keputusan yang perlu, bukan sekadar demi menambah hasil negara, tetapi untuk memastikan kelestarian fiskal, mengurangkan kebergantungan kepada hutang luar dan menyediakan ruang fiskal untuk masa depan.
Tanpa tindakan yang berani ini, Malaysia akan terus terdedah kepada krisis ekonomi yang lebih besar dan kehilangan daya saing di peringkat antarabangsa.
Tambahan pula, ekonomi global memberi tekanan besar terhadap dasar fiskal negara. Kejatuhan harga komoditi seperti minyak sawit dan petroleum mengurangkan hasil negara, manakala inflasi global menekan kos sara hidup rakyat.
Dalam keadaan ini, kerajaan perlu menyeimbangkan antara keperluan rakyat dan keperluan negara termasuk menstruktur semula cukai dan subsidi secara bersasar.
Malaysia juga tidak boleh mengasingkan diri daripada gelombang perubahan global. Penyertaan dalam inisiatif antarabangsa seperti kerangka Pelan Tindakan Penghakisan Asas Cukai dan Pemindahan Keuntungan (BEPS) dan cukai minimum global memaksa kerajaan membuat penyelarasan struktur cukai agar terus relevan dan berdaya saing dalam dunia pelaburan yang terbuka.
Apa yang jelas, Kerajaan Madani tidak menjanjikan jalan pintas. Sebaliknya, ia membuka jalan yang panjang tetapi kukuh, menuju negara yang lebih telus, adil dan sejahtera. Dalam usaha ini, bukan sahaja Anwar dan Kabinetnya yang diuji, tetapi juga rakyat keseluruhannya.
Membina Malaysia Madani adalah projek kebangsaan yang memerlukan penyertaan aktif setiap warganegara. Ia menuntut kita untuk menjadi rakyat yang bukan sahaja menuntut, tetapi juga menyumbang. Menjaga negara bukan tugas kerajaan semata, tetapi amanah bersama yang perlu dijunjung dengan penuh iltizam.
Seperti yang dilaungkan: “Bersama Menjaga Negara” - ia bukan retorik politik, tetapi satu seruan untuk menggenggam tanggungjawab bersama, demi Malaysia yang lebih gemilang.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)