ISU warga emas yang masih memandu kenderaan semakin mendapat perhatian dalam masyarakat hari ini.
Walaupun mereka memiliki pengalaman memandu yang luas, usia lanjut yang sering dikaitkan dengan kemerosotan fizikal dan mental boleh menjejaskan keupayaan mereka di jalan raya.
Banyak kejadian sebelum ini menimbulkan persoalan sejauh mana sesuai untuk warga emas terus memandu.
Pada Sabtu lalu di Nibong Tebal, Pulau Pinang, polis menahan seorang wanita warga emas berusia 70 tahun kerana memandu sebuah Proton X50 di lorong motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS).
Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku di Kilometer 8.6 JSAHMS dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung pada jam 1.30 petang.
Pada 13 Jun, Mahkamah Majistret Johor Bahru menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang pemandu lori berusia 65 tahun selepas dia mengaku bersalah memandu secara cuai sehingga menyebabkan kerosakan kepada kemudahan awam.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu telah memandu lori di atas jalan tanpa perhatian yang sewajarnya apabila gagal menurunkan bahagian bucket kenderaan berat yang dipandunya, sebelum melanggar kabel elektrik.
Kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan tiga tiang elektrik, sebatang tiang lampu isyarat, sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah pondok bas.
Pada 9 April lalu di Seberang Perai, Pulau Pinang, seorang lelaki berusia 75 tahun yang memandu kereta di laluan motosikal berhampiran Plaza Tol Bandar Cassia, Batu Kawan turut ditahan polis.
Sebelum itu, tular satu video yang memaparkan tindakan seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia melalui laluan motosikal.
Pada 14 Mac pula di Iskandar Puteri, Johor, seorang warga emas berusia 85 tahun memandu kereta Proton Saga secara melawan arus akibat tersalah masuk jalan di Linkedua Malaysia-Singapura, yang videonya turut tular di media sosial.
Faktor
Pelbagai faktor boleh menjelaskan kejadian-kejadian ini, dan perhatian serius perlu diberikan oleh pihak berkuasa serta masyarakat.
Pertama, faktor kesihatan merupakan aspek utama yang harus dipertimbangkan. Apabila usia meningkat, tahap penglihatan, pendengaran dan refleks fizikal biasanya akan menurun.
Sebagai contoh, warga emas mungkin sukar melihat dengan jelas dalam keadaan pencahayaan rendah atau gagal memberikan tindak balas pantas terhadap situasi kecemasan seperti membrek secara mengejut.
Keadaan ini boleh meningkatkan risiko kemalangan, bukan sahaja kepada pemandu warga emas, malah kepada pengguna jalan raya yang lain.
Kedua, beberapa penyakit lazim dalam kalangan warga emas seperti Alzheimer, Parkinson, strok dan kencing manis boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk memandu dengan selamat.
Gangguan daya ingatan atau tumpuan boleh menyebabkan mereka tersesat, melanggar peraturan jalan raya atau gagal membuat keputusan pantas dalam situasi mendesak. Dalam kes yang lebih serius, mereka mungkin tidak menyedari tindakan mereka sendiri ketika berada di jalan raya.
Dari sudut undang-undang dan keselamatan awam, sesetengah negara telah memperkenalkan pemeriksaan berkala ke atas warga emas yang ingin memperbaharui lesen memandu.
Langkah ini merupakan tindakan proaktif yang wajar dicontohi di Malaysia. Sekiranya keputusan pemeriksaan menunjukkan ketidakmampuan, maka lesen mereka sewajarnya ditarik balik demi keselamatan semua pihak.
Bagaimanapun, terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa tidak semua warga emas tidak layak memandu.
Sesetengah daripada mereka masih sihat, cergas dan berdisiplin ketika mengemudi kenderaan. Oleh itu, penilaian harus dibuat berdasarkan individu, bukan semata-mata atas faktor umur.
Kesimpulannya, walaupun terdapat warga emas yang masih mampu memandu dengan selamat, secara umumnya keupayaan memandu akan menurun seiring peningkatan usia.
Maka, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa warga emas tidak sesuai memandu tanpa penilaian kesihatan dan kemahiran secara berkala.
Bagi menjaga keselamatan semua pihak, pendekatan yang sistematik dan berhemah perlu diambil agar golongan ini tidak terdedah kepada risiko yang lebih besar.
*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah penyunting Sinar Harian