Sindiket ‘klinik haram’ berulang, penguatkuasaan perlu dipertingkat

Iklan
Antara jenis ubat-ubatan yang dirampas KKM pada Jumaat.

SERBUAN terhadap sindiket ‘klinik haram' yang beroperasi di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin, Kuala Lumpur membuka satu lagi lembaran kebimbangan terhadap kewujudan premis rawatan tidak sah di tengah-tengah ibu kota.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan rampasan 301 jenis ubatan bernilai ⁠RM56,600 hasil serbuan sindiket tersebut yang didalangi warga Bangladesh di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Serbuan menerusi operasi khas bermula jam 4 petang itu dijalankan KKM dengan diketuai Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi WP Kuala Lumpur dan Putrajaya, Shafilliza Samsuri berkata, kesalahan yang dikesan ialah memiliki dan menjual ubat-ubatan tidak berdaftar dgn KKM serta memiliki untuk jualan ubat-ubatan yang mengandungi racun.

Iklan

Menurutnya, sembilan kertas siasatan dibuka di bawah Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952.

Rampasan 301 jenis ubatan bernilai RM56,600 bukan sekadar angka statistik penguatkuasaan. Ia mencerminkan wujudnya rangkaian perniagaan kesihatan gelap yang berani beroperasi secara terbuka, menyasarkan kelompok masyarakat tertentu yang mungkin berdepan kekangan bahasa, kos rawatan atau status dokumentasi.

Iklan

Selain itu, siasatan awal mendapati ia telah lama beroperasi dan pernah berdepan tindakan pendakwaan sebelum ini.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana premis seumpama ini terus berulang kali muncul walaupun tindakan undang-undang telah diambil?

Lebih membimbangkan, ubat tidak berdaftar ini mungkin mengandungi bahan terlarang, dos tidak terkawal atau bahan aktif yang tidak diisytiharkan.

Tanpa kelulusan dan pemantauan pihak berkuasa, pengguna terdedah kepada risiko kesan sampingan serius termasuk kerosakan organ dalaman, reaksi alahan teruk, interaksi ubat berbahaya dan kegagalan rawatan sebenar.

Dalam jangka panjang, penggunaan ubat tidak berdaftar juga boleh menyumbang kepada masalah kesihatan awam seperti rintangan antibiotik, terutamanya jika antibiotik dijual secara bebas tanpa preskripsi.

Sekiranya tidak dibendung secara berterusan dan menyeluruh, sindiket seperti ini boleh berkembang menjadi rangkaian lebih besar yang membekalkan ubat-ubatan haram ke pasaran terbuka.

Ini berpotensi menjadikan produk tidak berdaftar lebih mudah diakses, termasuk melalui platform dalam talian dan rangkaian komuniti tertutup.

Lebih malang, mangsa sebenar adalah golongan berpendapatan rendah dan pekerja asing yang mungkin tidak menyedari risiko sebenar, sebaliknya hanya melihat kepada faktor kos dan kemudahan.

Serbuan itu memberi mesej jelas betapa serius isu berkenaan. Adakah masyarakat hanya perlu menutup mata dan membisu melihat kegiatan sebegini? Semua perlu memainkan peranan terutama pihak berkuasa dari segi penguatkuasaan.