BACHOK - Kelantan dijangka menyumbang 108 tan metrik bawang bagi menampung keperluan negara, kata Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Menurutnya, bekalan yang bakal dituai pada pertengahan Ogos ini dihasilkan menerusi projek tanaman bawang melibatkan 51 peserta dari tujuh daerah.
“Tanaman seluas 27 hektar di 37 lokasi ini melibatkan peruntukan kira-kira RM1.4 juta, dan Bachok mencatatkan keluasan terbesar iaitu 4.6 hektar.
“Hasil tuaian bawang yang mengambil masa 75 hari itu dijangka membawa keuntungan lebih RM700,000 kepada penanam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria.
Mohd Nassuruddin berkata, Kelantan merupakan salah satu daripada enam negeri terpilih bersama Perak, Selangor, Perlis, Pulau Pinang dan Pahang untuk menjadi peneraju projek tanaman bawang.
“Projek ini dijangka menyumbang hingga 30 peratus bekalan bawang negara menjelang 2030.
“Pada 2022, Malaysia mengimport 685,400 tan metrik bawang bernilai RM1.58 bilion dan ketika ini, 100 peratus keperluan bawang negara diimport dari India dan China,” katanya.
Tambahnya lagi, projek itu diharap menarik lebih ramai penglibatan orang ramai dalam sektor pertanian sekali gus menjadikan Kelantan sebagai negeri pertanian utama.