KLANG – Lapan individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes buli melibatkan pelajar sebuah sekolah yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, semakan awal mendapati kejadian tersebut melibatkan pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah.
Iklan
Iklan
“Lapan individu dirakam keterangan, melibatkan mangsa, bapa mangsa, pelajar yang terlibat serta pihak sekolah.
“Selain itu, polis akan merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Pendidikan Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa polis sedang menyiasat kejadian buli yang membabitkan sekumpulan pelajar perempuan di sebuah sekolah di sini selepas rakaman video insiden tersebut tular di media sosial pada Sabtu.
Video tular itu memaparkan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah dipukul pada badan serta ditampar oleh beberapa individu dipercayai rakan mangsa.
Siasatan berkaitan kejadian dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.