Tular sekumpulan pelajar perempuan dibuli dalam tandas sekolah

KLANG – Polis sedang menyiasat kejadian buli membabitkan sekumpulan pelajar perempuan di sebuah sekolah di sini selepas rakaman video insiden tersebut tular di media sosial pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.53 tengah hari.
"Semakan mendapati video berkenaan dimuat naik di aplikasi Facebook dan memaparkan aksi pergaduhan yang berlaku di dalam tandas sekolah, melibatkan pelajar perempuan dari sekolah sama.
"Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
"Polis memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.
"Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," tegasnya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau membuat andaian tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"Sebarang tindakan yang menggugat ketenteraman awam akan disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Inspektor Mohamad Izroy Kamarulzaman di talian 014-8183519 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

