Pegawai Felda didakwa tipu warga emas

Iklan
Pegawai Felda, Eddy Khirin (tengah) dibawa pegawai SPRM ke mahkamah

SEREMBAN - Pegawai Rancangan Tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menipu seorang lelaki warga emas dengan mendorongnya menurunkan tandatangan pada cek untuk kerja-kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Eddy Khirin Bunaim, 45 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya, telah menipu seorang lelaki berusia 68 tahun dengan mendorongnya menurunkan tandatangan pada cek bank milik Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lui Selatan 1, bagi tujuan pembayaran wang berjumlah RM12,000 kepada seorang lelaki yang didakwa sebagai pembekal.

Ia sebagai pendahuluan untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan 1 dan 2, sedangkan, individu tersebut bukanlah pembekal yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja berkenaan, yang mana lelaki warga emas berkenaan tidak akan mengambil tindakan tersebut, sekiranya tidak diperdayakan sedemikian

Iklan

Kesalahan itu dilakukan pada 16 Mac 2023, di Maybank Cawangan Bahau, Jempol.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Iklan

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Zainab Yahaya menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon kadar jaminan yang minimum kerana perlu menanggung empat anak masih sekolah selain kini sedang menyambung pengajian.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan dengan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Sekiranya tertuduh gagal mematuhinya, wang jaminannya tidak akan dikembalikan dan sebutan semula kes 14 Ogos depan.