Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani bukan untuk bersaing dengan sesiapa - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid ketika meluncurkan Gerak Kerja JKDM Sabah pada majlis penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani di SICC, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) bukan bertujuan untuk bersaing atau berlawan dengan mana-mana pihak, sebaliknya diwujudkan demi menjaga kebajikan rakyat, khususnya di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, JKDM berperanan sebagai mata, telinga dan suara penduduk desa bagi membolehkan kerajaan menyampaikan keperluan rakyat dengan lebih berkesan.

Iklan
Iklan

“Saya tahu ada yang mempertikaikan penubuhan JKDM, kononnya ia berpaksikan politik, kononnya bertembung dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK). Tapi saya tanya, kalau ia membawa manfaat kepada rakyat, mengapa tidak?

“Sebagai ahli JKDM, kita tidak diwujudkan untuk bersaing dengan sesiapa, tidak berlawan dengan sesiapa. Kita mahu mengambil peduli rakyat tanpa mengira agama dan kaum. Kita wujud bukan untuk menggugat, apatah lagi merampas ruang kuasa sesiapa.

Iklan

“Kalau JKKK itu mata yang melihat, JKDM ialah tangan yang bertindak. Satu memerhati, satu melaksanakan. Yang penting, kedua-duanya bergerak seiring demi menyantuni 3.7 juta rakyat Sabah, negeri di bawah bayu ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.

Beliau turut menggesa agar JKDM terus memainkan peranan sebagai pencetus perubahan dan pemudah cara dalam membantu rakyat di peringkat akar umbi.

Iklan

“Kalau ada rumah roboh, JKDM yang turun padang. Kalau ada ibu tunggal tercicir, JKDM bantu buka ruang bantuan. Kalau ada anak muda menganggur, JKDM cari peluang latihan dan pekerjaan.

“Saya mahu kita mengambil peduli dengan penuh kesedaran terhadap realiti kadar kemiskinan tegar yang masih membimbangkan dan perlu ditangani secara serius,” katanya.

Menurut beliau, selain bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan, JKDM juga bertanggungjawab memastikan data komuniti sentiasa dikemas kini melalui Sistem Profil Kampung Data.

“Kerana data ialah senjata paling ampuh dalam pembangunan. Dengan maklumat yang lengkap dan tepat, kita boleh merancang dasar secara holistik dan tersusun serta memastikan bantuan sampai kepada yang benar-benar layak. Pembangunan mesti disalurkan ke tempat yang paling memerlukan, bukan berdasarkan andaian.

“Berdasarkan fakta, fungsi pengumpulan data ini penting bagi membolehkan JKDM menyampaikan perkhidmatan secara lebih efektif, sama ada melalui projek fizikal seperti infrastruktur, pembangunan modal insan atau ekonomi di setiap kawasan,” katanya.

Sebelum itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Sabah mencatat keahlian JKDM tertinggi di seluruh negara. Bagi fasa pertama tahun ini, sebanyak RM11 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pembayaran elaun.

“Saya tahu jumlah itu masih kecil. Saya nampak dan saya dengar. Saya tahu semua telah bekerja kuat, tidak sepatutnya elaun hanya sebanyak itu. Saya tahu elaun itu wajib ditambah.

“Tetapi bukan sekarang. Kita perlu menang besar, insya-ALLAH. Kalau kita ambil alih kerajaan, kita menang besar, saya janji elaun akan ditambah. Oleh itu, kita kena bekerja keras pastikan kemenangan dapat dicapai,” katanya.