Dari bilik darjah ke wad psikiatri

Iklan
Tular video klip berdurasi 2 minit 18 saat memaparkan seorang pelajar perempuan dikepung sekumpulan pelajar lain dipercayai menjadi mangsa buli.

BERCAMPUR baur perasaan penulis. Geram, marah dan sedih. Semua rasa itu bersatu ketika menonton satu klip berdurasi 2 minit 18 saat memaparkan seorang pelajar perempuan dikepung sekumpulan pelajar lain dipercayai menjadi mangsa buli.

Video tular pada Sabtu menunjukkan seorang pelajar perempuan ditampar dan dikerumuni tidak kurang 10 pelajar, dipercayai merupakan rakan sekolah sama di Klang. Lokasi? Tandas. Tempat sepatutnya menjadi ruang privasi, kini jadi pentas drama samseng remaja.

Iklan
Iklan

Rakaman tersebut jelas menunjukkan aksi fizikal menyerupai babak filem gengster, cuma bezanya, pelakon kali ini adalah budak sekolah. Ya, budak sekolah. Bukan penjenayah dewasa.

“Kalau kau nak tutup kes, bagi kita orang pukul kau, lepas tu aib kau, terpulanglah. Kau nak lawan, kalau kau pandai lawan, kau lawan la.”

Iklan

Itu antara dialog yang jelas kedengaran dalam rakaman tersebut menjadi bukti lagak samseng daripada kumpulan pelajar tersebut.

Lebih mengecewakan, insiden tersebut melibatkan pelajar-pelajar perempuan Melayu yang selama ini digambarkan bersikap sopan, beradap dan lemah lembut.

Iklan

Mangsa buli akhirnya ‘menyerah diri’. Tunduk membiarkan tubuhnya disakiti.

Beberapa pukulan pantas singgah di bahagian belakang badannya – tulang belakang, tempat paling sensitif dan boleh memberi pelbagai risiko buruk.

Tidak kira apa pun puncanya, waima berlaku kesalahan di pihak mangsa sekali pun, kes ini memberi isyarat jelas bahawa Malaysia masih dihantui budaya buli yang seolah-olah tidak padam biarpun pelbagai insiden tragis sudah berlaku.

Tidak cukupkah kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain menjadi pengajaran?

Kita sering bertanya, kenapa buli berlaku? Jawapannya mudah. Kerana pelaku rasa mereka kebal, sekolah diam, masyarakat normalisasi tingkah laku agresif sebagai ‘biasalah budak-budak’.

Tiada dasar yang betul-betul keras dan menyakitkan buat pelaku dan kerana undang-undang hanya ‘menggigit’ bila ada tekanan awam.

Sudah sampai masa kerajaan berhenti hanya memandang serius, pandang sahaja tanpa tindakan efisien.

Pada Disember tahun lau, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Who mendedahkan seramai 5,891 murid didapati terlibat buli pada tahun 2023, manakala hingga 31 Oktober 2024 jumlah murid yang direkodkan adalah seramai 5,703 murid. Angka tersebut berdasarkan data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

Penulis percaya, rakaman kejadian terbaharu yang tular tersebut menjadi bukti angka insiden buli terus meningkat. Itu yang tersebar. Bagaimana kes yang tersimpan rapi?

Justeru, kita amat perlukan akta khusus antibuli di peringkat sekolah dengan meminda sebarang peruntukan undang-undang seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Bukan sekadar pekeliling atau panduan disiplin yang boleh diubah ikut cita rasa pentadbir.

Kita perlukan sistem aduan pelajar yang selamat dan telus, di mana pelajar tidak takut untuk bercakap.

Kita perlukan sekolah yang tidak hanya fokus pada pencapaian akademik, tapi juga kesihatan mental dan emosi pelajar.

Buli bukan masalah kecil. Ia bukan sekadar tampar dan tolak. Tetapi luka yang tertinggal bertahun-tahun, bahkan sepanjang hayat.

Trauma kadangkala lebih perit daripada kecederaan yang alami. Kalau mangsa tak jadi berita, dia mungkin jadi statistik senyap dalam bilik kaunseling atau wad psikiatri.

Sudah cukup kita bertolak ansur. Undang-undang, sistem sekolah, penglibatan komuniti dan pendidikan emosi, semuanya perlu digabung.

Kalau kita terus biarkan sekolah jadi gelanggang, tidak mustahil hospital juga akan penuh akibat kes buli, kematian akibat trauma dan generasi yang sakit jiwa.

Jika kita masih menunggu bukti kematian untuk bertindak, mungkin sudah terlambat.

Andai hanya peduli selepas video tular, kita ibarat sedang menghitung tragedi seterusnya. Buli bukan trend, tapi tragedi psikologi yang ‘makan dalam’.

* Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Sinar Harian