ALOR GAJAH – Seorang pemuda yang bekerja kampung dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan memukul kepala abang iparnya menggunakan batu di rumah mereka di Felda Bukit Bulat, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Shafiq Suwarno, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 33 tahun dengan memukul kepala mangsa menggunakan batu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Felda Bukit Bulat kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Isnin lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika disabitkan kesalahan.
Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian kerana mempertahankan diri selepas berlaku perselisihan faham dengan abang iparnya yang juga merupakan anggota polis.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 berserta syarat tambahan agar tertuduh dilarang mengganggu mangsa memandangkan mereka tinggal serumah.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Loong Meng Si, yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan RM70 sehari, selain menjaga ibu yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan, iaitu tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.