SHAH ALAM – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merampas khemah milik Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang di ibu negara pada Selasa.
Menerusi kenyataan terbaharu di Facebooknya pada Rabu, Firdaus mendakwa DBKL memberikan alasan khemah berkenaan menghalang jalan sehingga tindakan rampasan dibuat.
“DBKL kata khemah 10x10 MRM menghalang jalan = DIRAMPAS!
“Yang ini tidak menghalang jalan. Jalan yang menghalangnya. Salah jalan bukan salah kuil. DBKL kena robohkan jalan.
‘Gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang lautan’,” ujarnya dipercayai merujuk isu sebuah kuil yang terletak di ibu negara, Kuala Lumpur.
Kenyataan itu dipercayai sebagai perbandingan kepada tindakan penguatkuasaan DBKL terhadap reruai Street Dakwah anjuran MRM pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina itu di kawasan tumpuan pelancong berkenaan.
Pada Rabu, media melaporkan DBKL menunggu wakil MRM lebih 30 minit sebelum merampas khemah berkenaan selepas mendakwa ia didirikan tanpa kelulusan dan menghalang laluan awam.
Menurut DBKL, hasil pemantauan di lapangan mendapati terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki dan perlu sentiasa bebas halangan bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.
Dalam masa terdekat, menurut DBKL, pihak pengurusan akan mengadakan perjumpaan dengan pihak MRM bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Namun isu berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang mempersoalkan ketelusan serta konsistensi tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan itu.
Pada Selasa, Firdaus Wong mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang merampas reruai dan bahan Street Dakwah MRM pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina di sekitar Bukit Bintang.
Firdaus Wong yang juga pengasas MRM mendakwa berdasarkan maklumat diterima, tiada sebarang notis saman atau senarai inventori dikeluarkan ketika proses rampasan dilakukan bagi menyatakan kesalahan serta butiran barangan yang dirampas.i
Beliau turut mendakwa pihaknya telah menjalankan aktiviti dakwah di lokasi sama sejak 14 tahun lalu tanpa sebarang masalah, malah sebelum ini tidak pernah dimaklumkan mengenai keperluan mendapatkan permit kerana mereka tidak menjalankan sebarang aktiviti jualan serta tidak mengganggu lalu lintas.