Lelaki putus kaki terkena letupan bunga api malam Tahun Baharu Cina

Iklan
Mangsa dipercayai bermain bunga api jenis shoot cake 4(D) 16 shot (premium) di hadapan rumahnya sempena Tahun Baharu Cina. Foto PDRM

SEGAMAT - Seorang lelaki cedera parah sehingga putus kaki kiri akibat letupan bunga api di hadapan rumahnya di Taman Damai Jaya, Bukit Siput di sini malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa yang berusia 30-an bermain bunga api itu jam 12.30 tengah malam.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai bermain bunga api jenis shoot cake 4(D) 16 shot (premium) di hadapan rumahnya sempena Tahun Baharu Cina.

"Bunga api tersebut meletup dan mangsa cedera parah sehingga kudung kaki kiri.

Iklan

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Zon Merah Hospital Segamat untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pegawai perubatan mengesahkan mangsa putus kaki kiri bawah lutut dan kini dalam keadaan stabil.

Iklan

"Kes disiasat bawah Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Pihaknya menasihatkan orang ramai agar bermain bunga api yang dibenarkan di kawasan lapang di samping mengamalkan langkah-langkah keselamatan," ujarnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran.