Trainerthon 2025 cipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records

Iklan
Trainerthon 2025 menerima Sijil Pencapaian Malaysia Book of Records untuk kategori Most Facilities For Corporate Team Building In A Resort.

KEPALA BATAS – Trainerthon 2025, program pembangunan kemahiran korporat anjuran penuh Bertam Resort and Waterpark dengan sokongan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), telah mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records sempena sambutan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025.

Penganjuran itu merupakan usaha untuk memperkukuhkkan pembangunan kemahiran korporat serta memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan perniagaan di negara ini.

Iklan
Iklan

Program berteraskan industri itu telah menghimpunkan 1,000 peserta daripada sektor awam dan swasta yang mana, ia mensasarkan untuk mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records sebagai program pembinaan pasukan korporat terbesar di Malaysia.

Trainerthon 2025 diiktiraf dalam kategori Most Facilities For Corporate Team Building In A Resort.

Iklan

Ketua Pegawai Program HRD Corp, Soffian Amin berkata, inisiatif Trainerthon 2025 merupakan salah satu platform penting untuk memperkasa industri agar memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan modal insan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Peserta mengambil bahagian di salah satu pusat aktiviti interaktif semasa program Trainerthon 2025.

Iklan

Menurutnya, ia selaras dengan pelbagai inisiatif di bawah NTW 2025 yang mengutamakan budaya pembelajaran berterusan bukan sahaja dalam aspek latihan teknikal, malah meliputi pembangunan kemahiran insaniah yang semakin kritikal dalam ekonomi masa kini.

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), HRD Corp komited memacu agenda peningkatan kemahiran dan penyesuaian kemahiran serta menjadikan NTW sebagai platform terbuka untuk meluaskan capaian pembelajaran kepada semua lapisan masyarakat.

"Program Trainerthon 2025 turut menjadi sebahagian daripada usaha ini, sekali gus mempamerkan bagaimana pembelajaran berasaskan pengalaman boleh disokong secara meluas demi melahirkan tenaga kerja masa depan yang berdaya saing," katanya ketika ditemui di Majlis Penutup Trainerthon 2025 di Bertam Resort and Waterpark di sini.

Soffian yang juga Pengerusi NTW 2025 berkata, Trainerthon 2025 juga mencerminkan bagaimana kerjasama erat antara pihak awam dan swasta berupaya memperluas capaian dan impak pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia.

"Dengan penganjuran sepenuhnya oleh Bertam Resort and Waterpark dan sokongan HRD Corp di bawah NTW 2025, program ini membuktikan sektor swasta kini lebih proaktif dalam membangunkan kemahiran tenaga kerja.

Peserta giat menyempurnakan tugasan di salah satu pusat aktiviti interaktif dalam program Trainerthon 2025.

"Trainerthon 2025 menjadi contoh jelas bahawa majikan hari ini semakin bersedia melaksanakan pendekatan pembelajaran yang lebih dinamik dan melibatkan seluruh organisasi.

"Kerjasama sedemikian sekali gus menunjukkan bagaimana NTW berfungsi sebagai platform penyatu usaha kerajaan dan industri untuk memacu agenda pembangunan modal insan secara lebih meluas dan mampan," ujarnya.

Menurutnya, Trainerthon 2025 bukan sekadar program pembinaan pasukan malah memperkenalkan pengalaman pembelajaran baharu untuk majikan di negara ini.

"Dalam persekitaran perniagaan yang semakin pesat berubah, kemahiran teknikal semata-mata sudah tidak mencukupi.

"Sebaliknya, syarikat kini memerlukan tenaga kerja yang mampu berfikir secara kritikal, berkomunikasi secara berkesan, bekerjasama dan cepat menyesuaikan diri, terutama dalam era kepintaran buatan (AI) dan transformasi digital.

"Menerusi Trainerthon 2025, majikan diberi peluang melangkaui model latihan konvensional dan memperkukuh kemahiran insaniah pekerja, sekali gus menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran masa depan," katanya.

Pasukan korporat berskala besar

SITI FATIMAH

Sementara itu, Pengurus Bertam Resort and Waterpark, Siti Fatimah Packeer Mohd berkata, Trainerthon 2025 ialah sebuah program pembinaan pasukan korporat berskala besar yang menggabungkan cabaran fizikal, mental dan kerja berpasukan.

Menurutnya, ia bukan sahaja mengetengahkan konsep pembelajaran berasaskan pengalaman, malah turut sejajar dengan aspirasi NTW 2025 untuk melahirkan pekerja berkemahiran dan berdaya saing.

"Program ini dirangka agar setiap peserta berkembang secara individu dan sebagai satu pasukan yang lebih mantap. Kami menawarkan pengalaman pembelajaran yang membentuk kemahiran insaniah dan merapatkan hubungan dalam pasukan.

"Dalam dunia perniagaan hari ini, kemahiran insaniah sama pentingnya seperti pengetahuan teknikal. Kesemua peserta perlu melepasi 25 pusat aktiviti interaktif sekali gus memperlihatkan keupayaan syarikat di Malaysia untuk berinovasi dalam membentuk budaya kerja positif," katanya.

Siti Fatimah berkata, kerjasama bersama HRD Corp dan NTW 2025 membantu dalam meluaskan impak Trainerthon 2025 selain menghubungkan pihak resort dengan lebih banyak majikan.

"Ini merupakan contoh baik bagaimana kerjasama sektor awam dan swasta mampu memperkasa ekosistem pembelajaran di negara ini.

"Trainerthon 2025 bakal menjadi satu lagi platform strategik dalam memupuk pembelajaran berterusan dalam kalangan pekerja dan memperkukuh peranan pembelajaran sebagai pemacu kejayaan organisasi dan negara," katanya.

S KOAMATHI

Salah seorang peserta yang juga pemilik kedai bunga, S Koamathi, 43 dari Sungai Petani berkata, ini kali pertama dia menyertai acara seumpama itu.

“Saya berasa sangat gembira dan saya rasa ini merupakan platform yang baik untuk mengembangkan kemahiran saya sebagai pekerja dan jurulatih.

"Saya berpeluang mempelajari kemahiran baharu dalam pembinaan pasukan, kerja berpasukan dan pemikiran kritis. Ia turut mengajar para peserta cara berfikir untuk mencapai matlamat dan kepimpinan," katanya.

Peluang terbaik

FAZLU MUHYUDIN

Jurulatih teknologi maklumat, Fazlu Muhyudin Syed Ibramsa, 36 berkata, dia dan tiga pekerjanya berasa teruja apabila menyertai program tersebut.

“Kami berada di resort sejak jam 8 pagi dan program ini merangkumi banyak bengkel menarik serta halangan latihan yang perlu dilalui.

"Melalui program sehari ini, saya bukan sahaja memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu tetapi juga belajar cara berkomunikasi dan bekerja dalam pasukan. Ia juga memberi peluang kepada peserta untuk berkenalan dengan rakan sekerja dari syarikat lain," ujarnya.

LEE KHAN EN

Jurutera, Lee Khan En, 29 berkata, program itu merupakan peluang baik untuk para peserta membina semangat berpasukan.

“Kami berpeluang belajar daripada idea masing-masing sepanjang aktiviti. Walaupun beberapa cabaran tidak mudah, ia benar-benar memerlukan kerjasama.

"Program ini juga membantu memperbaiki kemahiran sosial kami. Sebagai seorang yang 'introvert', saya mendapati ia sangat berguna untuk belajar berkomunikasi dengan lebih baik. Ia turut membuka minda saya terhadap pelbagai perspektif dan cara berfikir," katanya.