94 klinik desa kayu dinaik taraf tahun ini - Dzulkefly

Iklan
Dzulkefly ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Klinik Desa Bukit Badong pada Ahad.

KUALA SELANGOR – Sebanyak 94 klinik desa berstruktur kayu di seluruh negara akan dinaik taraf sepanjang tahun ini berbanding 85 buah pada tahun 2024, menerusi pembinaan semula bangunan lama yang usang kepada struktur konkrit yang lebih moden, kukuh dan selesa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagi daerah Kuala Selangor, sebanyak enam klinik akan terlibat termasuk Klinik Desa Bukit Kerayong dan Klinik Desa Sungai Sireh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 524 klinik telah dibaik pulih dengan kos RM110 juta pada 2023, manakala 422 projek siap dilaksanakan melibatkan peruntukan RM150 juta melalui Inisiatif Pembaikan Klinik dan Fasiliti Daif Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh 2023 hingga 2025.

“Melihat kepada keberkesanan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan RM300 juta untuk tahun 2025 melibatkan 460 klinik di seluruh negara menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM560 juta.

Iklan

“Sebahagian besar daripada klinik yang dinaik taraf ini adalah klinik desa berstruktur kayu dan separa kayu yang berusia lebih 30 tahun dan sebelum ini agak terpinggir.

“Di Selangor sahaja, tujuh klinik desa telah dinaik taraf pada 2024 dan enam lagi akan terlibat tahun ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Klinik Desa Bukit Badong, di sini, pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, menurut Dzulkefly, Klinik Desa Bukit Badong yang telah dibina semula merupakan salah satu daripada 85 klinik desa berstruktur kayu yang dinaik taraf pada 2024.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, klinik tersebut kini menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada ibu mengandung, bayi dan kanak-kanak sehingga usia lima tahun, serta khidmat nasihat perancang keluarga dan rawatan penyakit tibi melalui sistem Directly Observed Treatment, Short-course (DOTS).

Dzulkefly (depan, tengah) ketika Majlis Perasmian Klinik Desa Bukit Badong, di sini pada Ahad.

“Klinik desa ini bukan kemudahan baharu tetapi pembinaan semula struktur asal yang telah usang dan diperbuat daripada papan serta kayu.

“Dengan kapasiti rawatan harian antara 40 hingga 60 pesakit, klinik ini memberi manfaat kepada lebih 4,600 penduduk di Kampung Bukit Badong dan Kampung Keretapi Lama.

“Walaupun berstatus klinik desa, fasilitinya kini lebih komprehensif termasuk dua bilik rawatan, bilik suntikan dan penyusuan serta bilik Point-of-Care Testing (POCT). Meskipun tiada doktor tetap, ruang untuk pegawai perubatan telah disediakan bagi membolehkan lawatan berkala, sekali gus mengurangkan beban di Klinik Kesihatan Ijok,” ujarnya.

Tambah Dzulkefly di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), kerajaan membuat anjakan daripada rawatan kepada pencegahan dan penggalakan kesihatan.

“Ini kerana hanya 20 peratus tahap kesihatan rakyat bergantung kepada sistem kesihatan, manakala selebihnya – sehingga 80 peratus – ditentukan oleh penentu sosial seperti pendidikan, pekerjaan, alam sekitar, pendapatan dan jaringan sokongan komuniti.

“Atas kesedaran ini, ANMS meletakkan pendidikan kesihatan di akar umbi sebagai keutamaan agar rakyat diperkasa dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri, keluarga dan komuniti,” katanya lagi.