NIBONG TEBAL - Polis kini giat mengesan seorang pemandu Toyota Harrier yang dirakam memandu secara melulu ketika melarikan diri daripada kereta peronda polis, dalam kejadian yang kini tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 18 saat itu menunjukkan kenderaan utiliti sukan (SUV) tersebut memecut laju dan mencelah di antara kenderaan lain di persimpangan Jalan Paboi, Bukit Tambun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 pagi, Jumaat lalu, ketika kenderaan itu dipercayai cuba meloloskan diri daripada pihak berkuasa.
Menurut beliau, polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 279 kerana memandu secara melulu.
“Tindakan suspek bukan sahaja membahayakan dirinya sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kami sedang giat berusaha mengesan pemandu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan dan perdebatan hangat dalam kalangan orang ramai selepas rakaman kejadian yang dirakam menerusi kamera papan pemuka tular di media sosial.
Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Tuan Noremifarahana Tuan Roslan di talian 019-8442162.
Tambah Jay January, pihaknya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan jalan raya dan cuba melarikan diri daripada penguatkuasaan undang-undang.