IPOH – Polis sedang menunggu laporan perubatan bagi melengkapkan siasatan kes seorang guru yang didakwa membuat hantaran jelik di Facebook berkaitan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas jalan raya di Gerik, minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja laporan tersebut diperoleh.
Menurut beliau, guru terbabit telah dirakam percakapannya dan telefon bimbitnya turut dirampas untuk siasatan lanjut.
“Kita telah merakam percakapannya dan kini pihak polis masih menunggu laporan perubatan daripada Hospital Seri Manjung bagi melengkapkan siasatan.
“Sebaik sahaja menerima laporan daripada pakar perubatan, kita akan kemukakan kertas siasatan ini kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya. Laporan perubatan itu lebih kepada aspek psikiatri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini pada Khamis.
Pada majlis tersebut, Noor Hisam menyempurnakan pemakaian pangkat Deputi Komisioner kepada Mohammad Azlin Sadari, 52, yang kini menggalas tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Perak baharu, menggantikan Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat yang akan bersara wajib pada 23 Jun depan.
Dalam perkembangan lain, Noor Hisam memaklumkan bahawa enam individu, termasuk tiga pelajar UPSI yang cedera dalam kemalangan pada 9 Jun lalu, masih menerima rawatan di hospital.
“Seorang pelajar sedang dirawat di Hospital Kuala Terengganu, manakala dua lagi pelajar menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
“Satu keluarga yang menaiki kereta Perodua Alza pula dirawat di Hospital Baling, Kedah melibatkan seorang ibu bersama anak perempuannya berusia enam tahun dan anak lelaki berusia tiga tahun,” katanya.