Kes seleweng dana RM900,000: Ketua pengarah, pengarah jabatan kerajaan dilepas dengan jaminan SPRM

Iklan
Ketua pengarah dan pengarah jabatan kerajaan dilepaskan dengan jaminan SPRM berkaitan kes seleweng dana RM900,000. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Ketua pengarah dan pengarah sebuah jabatan kerajaan yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes seleweng dana kira-kira RM900,000 dilepaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang disyaki telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja untuk kepentingan peribadi telah dilepaskan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

“Pada 11 Februari lalu, kedua-duanya telah ditahan reman selama lima hari sehingga hari ini. Bagaimanapun mereka telah dilepaskan lebih awal daripada tempoh reman yang ditetapkan selepas proses rakaman percakapan selesai dijalankan.

“Kini SPRM sedang melengkapkan siasatan untuk diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Iklan

Pada 11 Februari lalu, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 1 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Kata sumber, selain disyaki seleweng dana kira-kira RM900,000, kedua-duanya juga dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, seramai 18 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, SPRM telah menyita beberapa barangan berharga seperti pakaian, gajet, barangan elektronik dan peralatan sukan berjumlah kira-kira RM57,000.