KUALA LUMPUR – Cubaan seorang wanita melarikan diri daripada sekatan jalan raya dengan menunggang motosikal secara melawan arus mengundang padah apabila kenderaannya disita dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL).
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, tindakan wanita berusia 26 tahun itu bukan sahaja membahayakan dirinya sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
"Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal berkenaan menggunakan nombor pendaftaran yang mengelirukan dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
"Motosikal tersebut telah disita untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Hamidi berkata, operasi yang dilaksanakan Unit Falcon itu bermula jam 10 malam Sabtu hingga 5 pagi Ahad di beberapa lokasi sekitar ibu negara.
"Operasi itu dijalankan susulan aduan awam berkaitan gangguan bunyi serta pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 346 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, pengubahsuaian tanpa kelulusan serta pertukaran enjin tanpa pengendorsan.
“Sebanyak enam buah kereta dan dua buah motosikal turut disita serta-merta atas kesalahan serius termasuk pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem serta penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan," katanya.