JASIN – Kerajaan tidak menolak kemungkinan 47 jemaah yang menjadi mangsa penipuan pakej haji telah transit ke negara lain menggunakan visa pelancong sebelum dibawa masuk secara haram ke Makkah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, modus operandi ejen haji tempatan terbabit sukar dikesan memandangkan jemaah berkenaan tidak terus dibawa masuk ke Makkah dari Malaysia.
“Ada kemungkinan mereka pergi ke negara lain dahulu. Berdasarkan semakan, ada jemaah dari Jeddah yang kemudiannya dibawa keluar ke Turkiye sebelum masuk semula.
“Kemungkinan juga semasa bertolak dari Malaysia, mereka ke Turkiye dahulu dan dari sana masuk ke Jeddah. Ini sukar untuk dihalang jika alasan yang diberikan adalah untuk bercuti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Surau Al-Munawwarah, Kampung Orang Asli Bukit Seraya di sini, pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan bahawa hasrat sekumpulan jemaah warga emas dari Malaysia untuk menunaikan haji bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka mendakwa ditipu oleh seorang ejen haji tempatan.
Mereka dilaporkan terpaksa meredah laluan berbahaya dan berjalan kaki tanpa dokumen sah ke Makkah selepas tiba di Jeddah, berikutan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, kerajaan telah menubuhkan pasukan khas melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menangani isu ini, yang antara lain telah berjaya menyelamatkan 80 orang jemaah yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal bulan ini.
“Mereka ini dapat dikesan kerana maklumat menunjukkan mereka memang berniat untuk menunaikan haji, jadi mudah untuk kita tahan. Tetapi jika mereka ke negara lain kononnya untuk bercuti, sukar untuk dihalang,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sindiket terbabit tidak melibatkan syarikat pelancongan tempatan yang diberikan tauliah sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).
“Saya amat kesal kerana pelbagai peringatan telah dikeluarkan, termasuk lebih 10 kenyataan media dan khutbah Jumaat mengenai bahaya menunaikan haji tanpa permit sah atau kuota rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Tambah beliau, tindakan jemaah yang ingkar boleh mengundang kesan buruk kepada hubungan dua hala, termasuk kemungkinan hak istimewa Malaysia sebagai antara negara yang diberikan kuota khas haji ditarik balik oleh kerajaan Arab Saudi.
“Saya bimbang jika kita terus melanggar peraturan, ini akan menzalimi jemaah yang benar-benar ingin menunaikan haji secara sah pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan al-Quran dan komputer riba kepada penerima sumbangan dalam program lawatan tersebut.