KUANTAN - Jenazah lima sekeluarga dipercayai dibunuh di Taman Cerating Damai di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cerating pada Rabu.
Jenazah mangsa wanita, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, dua anak perempuan, Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Saffiyah Humairah, 5, serta ibu menttuanya, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dikebumikan dalam satu liang lahad.
Manakala jenazah suami dikebumikan dalam liang lahad berasingan.
Proses pengebumian selesai sepenuhnya jam 7.20 petang.
Suasana pilu menyelubungi proses pengebumian yang dihadiri keluarga terdekat dan sahabat handai serta penduduk setempat untuk memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah dituntut keluarga serentak dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira jam 3.10 petang menggunakan empat van jenazah sebelum dibawa ke Masjid Kampung Cerating di sini untuk dikafan dan disembahyangkan.
Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan jam 6.50 petang sebelum dikebumikan.
Proses bedah siasat ke atas semua mangsa dijalankan dua hari dan selesai pada Rabu.
Jenazah suspek dan isterinya selesai menjalani proses itu di pada Selasa manakala roses bedah siasat ke atas ibu dan dua anak perempuan mereka dijalankan pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati disyaki dibunuh di rumah mereka di Taman Cerating Damai di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, suspek disyaki mencederakan empat ahli keluarganya itu sehingga maut menggunakan senjata tajam.
Lelaki tersebut turut menikam diri sendiri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.