KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa naratif globalisasi yang sering ditafsirkan dari sudut pandang Barat perlu dipersoalkan dan ditangani secara lebih adil, khususnya dalam konteks peralihan tenaga di rantau Asia.
Menurut beliau, Asia bukan sekadar penerima dalam arus globalisasi, tetapi merupakan pencorak tamadun dan pertukaran perdagangan sejak berkurun lamanya.
“Dari Makkah ke Madinah, Melaka hingga ke China, semua ini membuktikan bahawa negara-negara Asia telah lama menjadi sebahagian daripada jaringan globalisasi, bukan hanya penerima manfaatnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada Isnin.
Beliau berkata, dominasi fahaman dan nilai dari Barat dalam mendefinisikan hala tuju ekonomi dunia telah menafikan peranan penting rantau Asia dalam sejarah serta masa depan peralihan tenaga.
Anwar turut meluahkan kebimbangan terhadap kebangkitan fahaman proteksionisme dan nasionalisme sempit yang menurutnya boleh mengancam kestabilan ekonomi global serta merencatkan usaha kerjasama rentas negara.
“Nilai kepercayaan dan kerjasama semakin tergugat apabila kuasa besar cenderung mengambil pendekatan tertutup serta mengenakan sekatan terhadap negara lain atas nama keselamatan atau persaingan ekonomi,” ujarnya.
Dalam konteks tenaga global katanya, ketegangan geopolitik dan dasar perlindungan telah menjejaskan rantaian bekalan, meningkatkan ketidakpastian pasaran dan menghakis keyakinan pelabur terhadap masa depan sektor tenaga.
Anwar menjelaskan bahawa pendekatan Malaysia dan ASEAN adalah berbeza – lebih terbuka, pragmatik dan seimbang demi memastikan peralihan tenaga berjalan secara adil tanpa menjejaskan hak pembangunan negara membangun.
“Diplomasi lebih utama daripada otokrasi. Kita percaya kepada persaingan sihat yang mampu membawa manfaat bersama,” katanya.
Dalam persidangan yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari seluruh dunia itu, Anwar turut menyeru agar pelaburan dalam sektor tenaga dipertingkatkan dengan sokongan dasar yang jelas dan konsisten supaya keyakinan pasaran kekal terpelihara.
Beliau menyatakan bahawa Asia kini menyumbang lebih 50 peratus penggunaan tenaga global dan 60 peratus pelepasan karbon, justeru peranan rantau ini amat kritikal dalam menentukan kejayaan agenda perubahan iklim dunia.
Namun katanya, majoriti negara Asia Tenggara tetap menunjukkan komitmen kukuh ke arah sasaran pelepasan sifar karbon, termasuk tambahan kapasiti tenaga bersih sebanyak 11,000 GWh menjelang 2030.
Malaysia, ujarnya, terus ke hadapan dengan meluluskan Rang Undang-Undang Carbon Capture & Storage (CCS) 2025 bagi menyokong pembangunan teknologi penyimpanan karbon sebagai sebahagian daripada strategi dekarbonisasi negara.
Petronas akan melaksanakan tiga projek CCS luar pesisir, di samping menjalin kerjasama strategik bersama syarikat dari Jepun, Korea, Perancis dan Itali untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyimpanan karbon serantau.
Pada masa sama, kerajaan turut memperuntukkan RM43 bilion melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi meningkatkan keupayaan grid elektrik negara termasuk penggunaan sistem bateri dan kecerdasan buatan (AI).
Anwar turut mengingatkan bahawa transisi tenaga bukan sekadar isu teknologi, tetapi melibatkan keadilan sosial – memastikan semua rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah, mendapat akses kepada tenaga yang mampu milik dan selamat.
“Peralihan tenaga tidak boleh dilihat dari kaca mata emisi sahaja. Ia mesti menjamin hak rakyat terhadap pembangunan, pekerjaan dan akses yang adil kepada kemudahan asas,” katanya.