Amalan cerapan hilal Malaysia jadi rujukan antarabangsa - Zulkifli Hasan

Iklan
Dr Zulkifli Hasan (dua dari kiri) bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (tiga, kiri) dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil (tiga dari kanan) hadir untuk melihat cerapan anak bulan menggunakan teleskop bagi menentukan tarikh puasa bagi Umat Islam di negara ini di Menara Kuala Lumpur semalam. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Amalan cerapan anak bulan atau hilal bagi menentukan tarikh bermula Ramadan yang dilaksanakan Malaysia kini menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata, pengiktirafan itu susulan pendekatan tersusun dan berautoriti yang mengintegrasikan ilmu falak syarie dengan teknologi moden, selain pelaksanaan cerapan yang konsisten dan berstandard tinggi di seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Malaysia dikenali dengan cerapan hilal yang berkualiti dan menjadi rujukan beberapa negara luar. Banyak rujukan dibuat terhadap cerapan yang kita lakukan malah ada beberapa cerapan kita dianggap antara yang terbaik.

"Ini menunjukkan pembangunan bakat dan kepakaran falak negara telah terbukti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1447 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) di sini malam tadi.

Iklan

Zulkifli berkata, cerapan itu dilakukan di 29 lokasi dari Sabah hingga ke Perlis, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan penentuan awal Ramadan dibuat secara sistematik, telus dan berpandukan kaedah yang diiktiraf.

Beliau berkata, pemantapan ilmu falak negara turut diperkukuh dengan kerjasama strategik bersama beberapa institusi pengajian tinggi, antaranya Universiti Malaya dan Universiti Sains Islam Malaysia serta beberapa universiti awam lain.

Iklan

"Alhamdulillah, perkembangan ilmu falak di negara kita sangat baik. Kita lihat di universiti, malah dari segi teknologi kita menggabungkan ilmu falak dengan ilmu dan teknologi lain. Pendekatan ‘Imkanur Rukyah’ yang diamalkan iaitu gabungan cerapan fizikal (rukyah) dan pengiraan astronomi (hisab) memperlihatkan keserasian antara disiplin tradisi Islam dan kemajuan sains semasa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Falak JMWP, Shahrin Ahmad berkata, penggunaan pelbagai peralatan optik berketepatan tinggi membantu meningkatkan ketepatan data cerapan, antaranya teleskop berkuasa tinggi yang dipasang pada sistem"mount” berkomputer, kamera CCD beresolusi tinggi untuk rakaman imej hilal serta perisian astronomi khusus bagi mengira kedudukan bulan, matahari dan sudut elongasi secara tepat.

"Kita tidak lagi bergantung pada mata kasar semata-mata. Teknologi seperti sistem penjejakan automatik dan perisian analisis imej membantu memastikan data cerapan lebih tepat dan boleh disahkan.

"Penggunaan teknologi ini juga membolehkan data cerapan diselaraskan secara masa nyata dengan pusat kawalan sebelum laporan rasmi dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk pengumuman. Kombinasi kepakaran falak tempatan dan kecanggihan teknologi menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai sistem cerapan hilal yang diyakini di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, majlis cerapan itu merupakan detik penting yang menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan ibadat umat Islam.

"Penentuan ini memberi kesan kepada jutaan umat Islam, justeru ia dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab,” katanya. - Bernama

 

 

TAG: