Pondok Moden Al-’Abaqirah seimbangkan pendidikan duniawi, ukhrawi

Iklan
Muhammad Al Zubair (kanan) ketika program Interviu bertajuk ‘Al-’Abaqirah: Mencari Keseimbangan Duniawi dan Ukhrawi’ yang dihoskan Haizir di Pondok Moden Al-’Abaqirah, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR- Dalam usaha memperkukuh pendidikan agama Islam yang relevan dengan tuntutan semasa, Pondok Moden Al- ’Abaqirah muncul sebagai pondok moden unggul yang menggabungkan warisan ilmu turath dan pendidikan arus perdana.

Mudirnya, Muhammad Al Zubair Abd Samad Cheam berkata, institusi di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu menampilkan pendekatan unik iaitu mengekalkan sistem pondok tradisional yang disuntik dengan elemen moden seperti penggunaan teknologi dan kurikulum akademik formal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelajar di pondok tersebut bukan sahaja mempelajari 20 hingga 24 kitab turath dalam tempoh tiga tahun pengajian, namun turut menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Ini membolehkan mereka layak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sama ada di dalam atau luar negara kerana kami bukan sahaja mahu melahirkan pelajar cemerlang dalam ilmu agama tetapi mampu berdepan cabaran dunia moden dengan akhlak yang mulia.

Iklan

“Pendekatan pengajian yang seimbang antara ilmu agama, akademik dan pembangunan sahsiah ini juga disokong oleh kemudahan moden seperti Future Classroom yang lengkap dengan Smartboard, Televisyen pintar, penghawa dingin, makmal sains Al-Jazari Lab, perpustakaan dan surau serta kemudahan sukan.

“Selain itu, inisiatif ‘1 Student 1 Tablet’, sistem pembelajaran berasaskan E-Qalam sebagai bahan pengajaran digital serta internet tanpa wayar membolehkan pelajar mengakses sumber pengajaran secara kendiri di luar waktu kelas,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika program Interviu bertajuk ‘Al-’Abaqirah: Mencari Keseimbangan Duniawi dan Ukhrawi’ yang dihoskan Haizir Othman di Pondok Moden Al-’Abaqirah, di sini baru-baru ini.

Untuk rekod, pondok moden berkenaan telah ditubuhkan pada 16 Ogos 2015 bersamaan 17 Ramadan 1436H bersempena Nuzul al-Quran yang merupakan hasil cetusan idea bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifl i Mohamad Al-Bakri.

Mengulas lanjut, Muhammad Al Zubair berkata, keselamatan dan keselesaan pelajar turut diberi perhatian melalui pemantauan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta dilengkapi bilik rawatan asas, selain persekitaran yang turut dipenuhi dengan alunan zikir, alQuran dan majlis ilmu menjadikan suasana pembelajaran lebih kondusif.

“Bangunan sedia ada mempunyai perakuan kelayakan untuk menduduki (CCC), malah aspek makanan pula, pembekal dewan makan telah dipastikan mempunyai sijil halal kerana kita mahu keberkatan dalam menuntut ilmu.

“Selain itu, aspek pengurusan masa juga menjadi keutamaan kami yang mana jadual harian pelajar bermula seawal 5.30 pagi dengan qiamullail dan berakhir 10.30 malam setiap hari merangkumi hafazan, akademik, ibadah, riadah dan aktiviti kokurikulum.

“Pada waktu malam pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam mempunyai kelas Tuisyen Akademik SPM dan STAM, begitu juga pada hujung minggu akan ada Daurah Mukathafah berkitab jemputan daripada tenaga pengajar pakar sama ada pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) atau pendakwah bertauliah,” ujarnya.

Kukuhkan kefahaman

Tambah Muhammad Al Zubair, pengajaran berasaskan bimbingan seperti program Mentor Mentee juga dilaksana bagi mengukuhkan kefahaman dalam ilmu dan penetapan target untuk mencapai kecemerlangan.

“Istimewanya, pondok moden ini juga mempunyai dua guru berbangsa Arab iaitu dari Mesir dan Syria bagi membentuk suasana berkomunikasi dalam bahasa Arab membabitkan pelajar,” katanya lagi.

MUHAMMAD AL ZUBAIR
Dalam pada itu, menurut Muhammad Al Zubair, segala kos pengajian pelajar selama tiga tahun di pondok berkenaan ditanggung dan dibiayai sepenuhnya oleh MAIWP yang menjalankan amanah pembayar zakat.

“Ini termasuk dengan program akademik, kepimpinan dan kem perkhemahan kerana kita mahu golongan muda betul-betul masuk ke pondok ini dengan niat untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin serta menjadi orang yang bermanfaat satu hari nanti.

“Pelajar yang masuk ke pondok ini hanya akan dikenakan yuran makan asrama tahunan mengikut pendapatan ibu bapa iaitu B40 sebanyak RM250, M40 ialah RM500 manakala T20 RM750,” jelasnya.

Kebolehpasaran graduan Pondok Moden Al-’Abaqirah

Muhammad Al Zubair berkata, pencapaian akademik yang membanggakan serta mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang membolehkan pelajar generasi awal di pondok berkenaan menempatkan diri dalam pekerjaan.

“Ramai pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Jordan iaitu 41 orang diikuti Mesir seramai 31 orang, Arab Saudi 22 orang, Maghribi tujuh orang dan Turki tiga orang serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta 358 orang.

“Berdasarkan data sedia ada, bidang kerjaya sebagai pendidik adalah yang paling ramai, diikuti dengan teknikal kejuruteraan dan perbankan.

“Ini membuktikan pengalaman di pondok ini bukan sekadar pendidikan formal tetapi satu proses tarbiah yang membentuk peribadi Muslim sejati,” katanya.

Mengulas mengenai maklum balas yang diterima daripada ibu bapa, Muhammad Al Zubair berkata, pihaknya menerima pelbagai pandangan positif apabila anak-anak mereka bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, namun menjadi pemimpin serta insan bertanggungjawab.

“Antara yang kami terima termasuk dari segi perkembangan kerohanian kerana anaknya sangat menjaga solat, rajin bangun malam dan mengingatkan ibu bapa mengenai akhirat, selain banyak mengajar ahli keluarga cara solat dan baca al-Quran dengan betul.

“Selain itu, keterlibatan pelajar dalam program kokurikulum seperti Kadet Polis, Bomba, Kelab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pencinta Alam dan aktiviti sukan menambah nilai kepada pembangunan sahsiah serta kemahiran insaniah pelajar.

“Malah, perkhemahan bersama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD1) membentuk disiplin yang tinggi seterusnya memperkukuh ketahanan fi zikal dan mental mereka,” katanya.