Sifat sombong halang inisiatif sifar plastik

Iklan
Lebih 400 juta tan plastik dihasilkan pada setiap tahun.

JUN merupakan bulan istimewa buat bumi kerana terdapat Hari Alam Sekitar yang disambut setiap 5 hari bulan.

Hari tersebut merupakan platform antarabangsa bagi memupuk kesedaran penduduk dunia terhadap pemuliharaan alam sekitar. Ia menyaksikan lebih

Iklan
Iklan

100 negara menyatakan solidariti terhadap planet yang semakin tenat akibat masalah pencemaran.

Setiap tahun, wakil setiap negara akan duduk di meja persidangan bagi membentangkan resolusi yang boleh melindungi dunia daripada pencemaran.

Iklan

Tahun ini, Korea Selatan dipilih sebagai tuan rumah Hari Alam Sekitar 2025 bagi membincangkan masalah pencemaran secara tuntas.

Tema dibangkitkan ialah BeatPlasticPollution yang bertujuan mengajak dunia untuk mengakhiri penggunaan plastik. Ini kerana bahan tersebut bukan sahaja boleh mencemarkan dunia, malah turut mengancam nyawa hidupan liar di segenap muka bumi ini.

Iklan

Menurut laporan National Geographic, jutaan haiwan di darat, laut dan udara mati akibat pencemaran plastik di seluruh dunia. Antara haiwan yang terkesan ialah udang, kupang, anjing laut, ikan paus, penyu, lembu, unta, kuda belang, harimau dan gajah.

Rata-ratanya mati akibat termakan, terperangkap dan tercekik plastik yang dibuang ke dalam laut ataupun hutan.

Perkara tersebut berlaku kerana pembuangan plastik dilaporkan semakin meningkat setiap tahun hingga jumlahnya cukup membimbangkan.

Laporan Global Plastik Outdoor: Policies Scenario To 2060 mendedahkan lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun yang mana jumlahnya meningkat 230 ganda berbanding tahun 1950 iaitu hanya dua juta tan.

Daripada jumlah tersebut, hanya sembilan peratus yang dikitar semula manakala selebihnya ditanam atau dibakar di tapak pelupusan sampah.

Asia dan Afrika ialah dua benua yang dilaporkan menjadi penyumbang tertinggi kepada pencemaran plastik dunia.

Jadi, tidak hairanlah kenapa isu pencemaran plastik amat ditekankan dalam sambutan Hari Alam Sekitar pada tahun ini.

Usaha mengekang penggunaannya boleh menyelamatkan dunia dan penghuninya, lebih-lebih lagi apabila bahan tersebut turut mengancam nyawa manusia.

Perkara tersebut didedahkan sekumpulan sarjana dari Belanda apabila kajian dilakukan mengesan mikroplastik dalam darah, tisu plasenta dan sistem pencernaan manusia.

Justeru, sudah tiba masanya untuk negara kita mengekang penggunaan plastik habis-habisan demi menjaga kelestarian alam sekitar dan kesihatan diri masing-masing.

Tidak dalam apa jua bentuk sekali pun, selagi produk tersebut dihasilkan daripada plastik seperti beg, botol, bekas makanan atau penyedut minuman.

Setiap orang seharusnya menanam azam untuk tidak lagi menggunakan produk berasaskan plastik, sebaliknya berusaha menggunakan beg kitar semula dalam urusan jual beli.

Amalkan juga sikap kitar semula di rumah dengan mengasingkan barang berasaskan plastik bagi memudahkan proses kitar semula.

Rasanya ramai sudah tahu bagaimana cara melakukannya kerana perkara ini sudah lama ditekankan oleh kerajaan melalui pelbagai platform siaran media.

Banyak juga wang yang telah dibelanjakan untuk memupuk kesedaran dan memberikan ilmu kepada orang awam mengenai kesan terhadap penggunaan plastik.

Perkara ini penting bagi memastikan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang digariskan mencapai agendanya.

Majoriti rakyat juga sudah sedia maklum mengenai usaha kerajaan untuk mengurangkan penggunaan plastik, sekali gus mencegah pencemaran bahan tersebut.

Kesedaran selama ini juga sudah cukup untuk memahamkan rakyat betapa pentingnya mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian.

Hanya sikap sombong dan pentingkan diri sendiri yang menghalang segelintir rakyat daripada menghayati dan mempraktikkan perkara tersebut dalam kehidupan seharian.

Kalau tidak masakan masih ada segelintir yang memandang sinis usaha kerajaan itu sambil meneruskan kebiasaan menggunakan plastik tanpa rasa bersalah dalam apa jua urusan hidup.

*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Sub Editor Sinar Harian