Ramai 'Papa Zola' dalam dunia realiti

Iklan
Di dunia realiti, ramai 'Papa Zola' sedang bergelut dengan dua atau tiga pekerjaan untuk terus hidup. Gambar hiasan

"MUMMY, kenapa Papa Zola kena buat macam-macam kerja?" Persoalan itu dilontarkan anak kecil saya sebaik sahaja kami keluar dari pawagam baru-baru ini.

Niat asal hanya mahu menonton filem santai bersama keluarga, namun Papa Zola The Movie ternyata meninggalkan kesan jauh lebih mendalam terutama buat mereka yang sedang bergelut dengan kehidupan.

Iklan
Iklan

Filem disangka ringan dan lucu rupa-rupanya menyentuh realiti hidup yang berat. Papa Zola bekerja sebagai penghantar makanan, buat pelbagai kerja sambilan dan sentiasa ‘berperang’ dengan masa hingga masa untuk keluarga jadi semakin terhad.

Realitinya, filem itu memaparkan beban ditanggung ketua keluarga. Satu pekerjaan tidak lagi mencukupi. Menabung untuk bercuti atau sekadar makan di luar bersama keluarga menjadi satu cabaran besar.

Iklan

Kisahnya mungkin fiksyen tetapi situasinya sangat nyata. Ia menggambarkan situasi sebenar sebahagian besar masyarakat kelas pertengahan yang tersepit antara keperluan asas dan impian kecil keluarga.

Di dunia realiti, ramai 'Papa Zola' sedang bergelut dengan dua atau tiga pekerjaan untuk terus hidup. Data terbaharu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuktikan betapa beratnya beban itu.

Iklan

Untuk hidup selesa di Shah Alam, Selangor, isi rumah empat orang memerlukan pendapatan bersih sebanyak RM6,620 sebulan, lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur (RM6,210).

Bagi individu bujang pula, kos sara hidup bulanan di Kuala Lumpur adalah lebih tinggi iaitu RM3,190 berbanding sebanyak RM2,980 di Shah Alam.

DOSM turut menyatakan bahawa peningkatan harga barangan dan perkhidmatan terutama melibatkan makanan dan pengangkutan, antara penyumbang utama kepada peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar.

Selain itu, laporan tersebut turut mengambil kira faktor-faktor seperti bayaran sewa, utiliti, penjagaan anak dan kemudahan kesihatan serta pendidikan dalam mengira jumlah pendapatan bersih diperlukan untuk hidup selesa.

Papa Zola bukan keseorangan. Di luar sana, ramai bapa melakukan perkara sama dengan menyimpan sedikit demi sedikit demi menunaikan impian membawa anak-anak bercuti ketika musim cuti sekolah.

Lebih-lebih lagi dalam era media sosial yang serba pantas ini, anak-anak semakin terdedah dengan gaya hidup rakan sebaya mereka yang sering berkongsi gambar percutian dan pengalaman menarik.

Maka, tidak hairanlah jika mereka turut menyimpan keinginan yang sama seperti Pipi yang berharap untuk dibawa bercuti oleh Papa Zola.

Namun, jika kemampuan kewangan tidak mengizinkan, cukuplah jika sekadar merancang percutian di dalam negara.

Malaysia memiliki banyak destinasi menarik yang masih belum diterokai, bahkan ramai pelancong tempatan sendiri belum sempat menjejakkan kaki ke lokasi-lokasi unik ditawarkan di dalam negeri.

Lebih penting, dengan melancong dalam negara, kita turut menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan terutamanya peniaga-peniaga kecil dan komuniti luar bandar.

Jika sekarang belum mampu tidak mengapa. Anggaplah belum ada rezeki lagi.

"Kalau bukan hari ini mungkin minggu depan, kalau bukan minggu depan mungkin bulan depan, kalau bukan bulan depan mungkin tahun depan, segala harapan akan datang yang kita impikan..."

Lirik lagu tema Papa Zola ini benar-benar menyentuh hati. Ia melambangkan harapan yang ditangguhkan, namun tetap dipegang untuk dilunaskan.

*Nurkhairini Jumari ialah Sub Editor Sinar Harian