Malaysia perlu beralih pasaran baharu, bijak tangani tarif AS

Iklan
Mohamad Nizar (dua dari kiri) bersama barisan panel dan hos 'Global Markets & Malaysia: Shaping the Next Six Months' di Equatorial (EQ) Plaza, Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu beralih ke pasaran baharu sekiranya hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) menjadi semakin sukar akibat isu tarif timbal balik negara barat itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, cabaran tersebut perlu ditangani dengan bijak bagi memastikan negara memperoleh rakan kongsi baharu dan pada masa sama, mengurangkan risiko keterdedahan terhadap pasaran AS.

Iklan
Iklan

"Ia bukan satu tugas mudah. Sebagai contoh, lebih 60 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mengeksport kini mempunyai pasaran di AS.

"Untuk golongan berkenaan beralih ke pasaran baharu memerlukan masa yang mana mereka perlu membuat perubahan dari segi strategi rantaian bekalan dan runding kontrak baharu.

Iklan

"Namun saya yakin Malaysia merupakan negara yang mampan dan kalis kegawatan untuk melindungi ekonomi daripada risiko perdagangan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program 'Global Markets & Malaysia: Shaping the Next Six Months' di Equatorial (EQ) Plaza, Jalan Sultan Ismail pada Rabu.

Iklan

Hadir sama Pengarah Eksekutif Ecorad Capital Berhad (ERCB) Malaysia, Ridhwan Rosli dan Ketua deVere Malaysia, Andrew Murray.

Ujar Mohamad Nizar, negara juga perlu memperkukuhkan hubungan perdagangan dengan blok ekonomi lain seperti China dan negara Timur Tengah.

Menurutnya, usaha itu dapat direalisasikan menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Tarif yang dikenakan oleh AS secara tidak langsung akan memaksa negara-negara terkesan termasuk Malaysia untuk mencari rakan perdagangan baharu.

"Sebagai contoh, mungkin kita boleh memperhebatkan dan mempertingkatkan lagi perdagangan antara ASEAN yang mana ia merupakan satu enjin pertumbuhan ekonomi yang penting.

"Pada tahun 2000, nilai perdagangan dalam ASEAN berjumlah AS$860 bilion (RM3.6 trilion) dan sekarang telah meningkat kepada AS$2.8 trilion (RM11.8 trilion) iaitu sebanyak 4.5 kali ganda," ujarnya.

Mengulas mengenai seminar tersebut, kata Mohamad Nizar, isu melibatkan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sektor berpotensi tinggi dalam negara turut ditekankan dalam sesi perbincangan berkenaan.

"Saya berpandangan, dalam suasana pelaburan yang tidak menentu, kita wajar menumpukan kepada industri yang kalis kegawatan seperti keselamatan makanan, penjagaan kesihatan dan nadir bumi.

"Saya juga ambil peluang untuk berkongsi potensi pelaburan di negeri Pahang. Lazimnya, pelabur memberi tumpuan kepada negeri-negeri di Pantai Barat, tetapi mereka perlu sedar bahawa Pantai Timur, khususnya Pahang, juga mempunyai peluang pelaburan besar yang belum diterokai sepenuhnya," menurutnya.