GEORGE TOWN – Seorang suri rumah berusia 57 tahun mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit selepas diperdaya menyertai skim pelaburan tidak wujud sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa membuat laporan pada 10 Jun lalu selepas menyedari telah ditipu.
Menurutnya, mangsa diperkenalkan dengan skim berkenaan oleh jirannya pada tahun 2022 dengan mendakwa pelaburan itu menjanjikan pulangan sekali ganda dalam tempoh sebulan.
“Mangsa turut diperkenalkan oleh jirannya itu dengan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai pemasaran pelaburan berkenaan.
"Wanita itu menjelaskan kononnya wang pelaburan akan disimpan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Hamzah berkata, mangsa kemudiannya mula membuat pembayaran secara berperingkat daripada 4 Mac 2022 hingga 22 Januari 2024, membabitkan 51 transaksi ke lima akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM521,450.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan ‘keuntungan’ seperti yang dijanjikan.
"Suspek pula memberi pelbagai alasan termasuk mendakwa pelaburan itu belum matang,” katanya.
Tambahnya, mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan kononnya untuk urusan mendapatkan semula modal dan keuntungan, termasuk bayaran kepada bank serta yuran guaman.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," ujarnya.
Dalam pada itu, Hamzah mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak diiktiraf mana-mana agensi rasmi seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
“Buat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa atau dapatkan pengesahan dari balai polis berhampiran sebelum menyertai mana-mana pelaburan.
“Elakkan sikap tamak kerana tiada jalan pintas untuk menggandakan wang dalam masa singkat,” katanya.