'Saya tidak pernah elak proses undang-undang' - Hanafiah Mat

Iklan
Hanafiah

​KUALA TERENGGANU – Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat menyatakan beliau sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang dijalankan ke atasnya.

​Menerusi satu kenyataan rasmi pada Isnin, Hanafiah menjelaskan bahawa beliau dan pasukan undang-undang telah menyerahkan segala dokumen yang diperlukan serta memberikan keterangan kepada pihak penyiasat sejak peringkat awal.

Iklan
Iklan

​"Saya tidak pernah sesekali mengelak daripada proses undang-undang yang sedang berjalan. Segala dokumen diperlukan telah diserahkan dan keterangan telah diberikan.

"Untuk makluman, siasatan ini bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah bermula sejak beberapa tahun lalu. Sepanjang tempoh tersebut, saya sentiasa bersikap terbuka," katanya.

Iklan

​Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, beliau berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.

​Mengulas mengenai spekulasi yang timbul, Hanafiah menyedari suasana politik semasa boleh mencetuskan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.

Iklan

​Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mengulas perkara bersifat spekulatif dan menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan.

​"Saya percaya rakyat mampu menilai secara adil berdasarkan fakta, tanpa dipengaruhi oleh persepsi yang tidak berasas.

"Fokus saya kekal kepada amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat. Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab tersebut dan akan terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti," ujarnya.

​Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus mendoakan dan memberikan sokongan moral kepadanya.

"Semoga ada kebaikan atau hikmah di atas setiap perkara yang berlaku. InsyaALLAH," katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan seorang Exco kerajaan negeri Terengganu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan akan didakwa di mahkamah pada Selasa.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60-an itu dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada jam 9 pagi.