PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendesak agar kuasa kawal selia pengangkutan pelancongan yang pernah dipegang kementerian itu dikembalikan sepenuhnya.
Gesaan itu dibuat susulan kemalangan bas persiaran yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Isnin lalu yang telah mencetuskan kebimbangan di peringkat antarabangsa.
Menurut MOTAC, kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan telah lama berada dalam keadaan tidak seragam dan ia menjadi salah satu punca utama kemalangan sering berlaku serta pembaharuan sukar dilaksanakan.
"Menurut Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594) yang asal, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pernah memegang kuasa penyeliaan di seluruh negara.
Namun, kuasa tersebut kemudiannya telah dipindahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kini kementerian hanya mengekalkan kuasa untuk Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar MOTAC, selepas pemindahan kuasa itu berlaku, tiada rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh merangkumi ciri-ciri perkhidmatan pelancongan, keperluan keselamatan pelancong dan piawaian antarabangsa yang tidak dapat diwujudkan.
"Hal ini menyebabkan situasi kelompongan pengawalseliaan pada masa ini," jelasnya.
Kementerian itu berkata, nahas yang meragut 15 nyawa Isnin lalu telah mendedahkan isu mendalam dalam sistem keselamatan pengangkutan pelancongan di Malaysia.
"Kesan daripada kemalangan ini telah mencetuskan kebimbangan di peringkat antarabangsa di mana pihak yang terlibat dalam program pelancongan dan pertukaran pelajar dari ASEAN, Timur Tengah, China, Jepun dan Korea telah menyatakan kebimbangan mereka kepada pihak kementerian dan kurang yakin terhadap mekanisme jaminan keselamatan pengangkutan pelancongan negara kita," jelas MOTAC.
Katanya, ancaman kepada keyakinan terhadap mekanisme pengangkutan ini berlaku ketika Malaysia sedang giat mempersiapkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), sekali gus menimbulkan keraguan terhadap imej keselamatan pelancongan Malaysia di pasaran antarabangsa.
"Lebih membimbangkan, pada penghujung Jun hingga Ogos tahun ini, lebih 500 pelajar pertukaran antarabangsa dijadualkan tiba di Malaysia untuk menjalani program pertukaran di Sabah.
"Menghadapi ketidakpastian sistem keselamatan pengangkutan pelancongan semasa, banyak unit kerjasama dan institusi telah menilai semula rancangan asal mereka.
"Sekiranya keselamatan pengangkutan pelancongan gagal dijamin, ia bukan sahaja akan menjejaskan program pertukaran pendidikan, malah kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan serantau juga akan terancam," katanya.
Justeru, MOTAC menyeru semua kementerian yang terlibat, terutamanya Kementerian Pengangkutan, untuk memandang serius kesan berantai daripada kelompongan pengawalseliaan ini dan mempercepatkan proses mengembalikan kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan sebagaimana termaktub dalam undang-undang.
"Hanya dengan cara ini, kita dapat membina semula imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat, dipercayai dan setara dengan piawaian antarabangsa serta dapat memastikan semua pelawat serta kumpulan pertukaran akademik dapat menikmati pengalaman mereka di Malaysia dengan penuh keyakinan," katanya.