Video neraka guna AI boleh jadi murtad - PBNU

Iklan
Gus Fahrur mengecam kandungan video bertajuk ‘hari pertama masuk neraka’ dan ‘hari kedua di neraka’ yang tular di YouTube baru-baru ini.

JAKARTA – Ketua Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Ahmad Fahrur Rozi atau lebih dikenali sebagai Gus Fahrur, mengecam kandungan video bertajuk ‘hari pertama masuk neraka’ dan ‘hari kedua di neraka’ yang tular di YouTube baru-baru ini, lapor Detik.com

Beliau menegaskan bahawa mana-mana pencipta kandungan tidak seharusnya mempermainkan atau merendah-rendahkan konsep syurga dan neraka.

Iklan
Iklan

“Tidak boleh membuat kandungan yang menghina atau memperolok-olokkan syurga dan neraka. Malah, jika kandungan tersebut menunjukkan sikap tidak percaya atau merendahkan keberadaan neraka, ia boleh dianggap murtad dan berdosa besar,” katanya kepada wartawan pada Selasa.

Menurut beliau, kepercayaan terhadap kewujudan syurga dan neraka merupakan pegangan asas semua agama, dan mempercayainya adalah sebahagian daripada akidah umat beragama.

Iklan

“Kepercayaan terhadap syurga dan neraka adalah sebahagian daripada keimanan yang diajarkan oleh semua agama dan diyakini oleh para penganutnya,” katanya.

Sebelum ini, media sosial digemparkan dengan dua video pendek menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menggambarkan suasana di neraka.

Iklan

Video pertama berdurasi sembilan saat, manakala video kedua berdurasi 41 saat.

Video berjudul ‘Hari Pertama masuk neraka cek’ memaparkan seorang lelaki berada dalam sungai yang digambarkan seperti aliran api dengan latar belakang api yang sedang marak.

Manakala video kedua bertajuk ‘AI, hari kedua di neraka cek part1’ pula memaparkan seorang lelaki berpakaian putih sedang merakam vlog dengan suasana api menyala di belakangnya.

Turut kelihatan lelaki lain berpakaian compang-camping dalam latar yang sama.

Malah, salah satu babak menunjukkan lelaki tersebut mendakwa sedang berenang dalam aliran lava sambil disaksikan beberapa orang lain di sekitarnya.

“Liburan dulu guys, cuba mandi lava, ternyata seru juga, panasnya mantul,” kata individu dalam video itu sambil bergurau.

Sebelum ini, Majlis Ulama Indonesia (MUI) turut mengecam kandungan video berkenaan yang disifatkan sebagai menyesatkan dan tidak menghormati nilai-nilai agama. - Agensi