HONG KONG – Seorang lelaki warga emas dipercayai menumbuk seorang penumpang wanita dalam satu kejadian di dalam tren Mass Transit Railway (MTR) Hong Kong yang sibuk pada awal pagi Isnin.
Memetik laporan media tempatan, The Standard, kejadian itu dirakam menerusi video yang tular di media sosial selepas berlaku perlanggaran ketika lelaki berkenaan tergesa-gesa untuk mendapatkan tempat duduk kosong.
Iklan
Iklan
Rakaman menunjukkan lelaki warga emas itu berang kerana menyangka wanita berkenaan menghalang laluannya sebelum menumbuk muka mangsa.
Wanita itu terundur akibat tumbukan tersebut dan menyatakan hasrat untuk menghubungi pihak berkuasa, manakala penumpang lain campur tangan dengan meminta lelaki terbabit menghentikan perbuatannya.
Dalam klip kedua, seorang penumpang lelaki menegur lelaki warga emas itu dengan menyatakan bahawa Hong Kong mengamalkan peraturan undang-undang, namun teguran tersebut dipandang remeh.
Wanita itu sekali lagi menegaskan bahawa dia telah dipukul, manakala orang ramai mengecam tindakan agresif lelaki terbabit dan menyatakan sokongan terhadap mangsa.