Lautan global makin 'tenat'

Iklan
Burung camar mencari makanan berhampiran kawasan pelepasan kumbahan yang dipenuhi botol plastik dan sisa lain di pesisir Ouzai, selatan Beirut.

NICE - Pemimpin dunia mula tiba di French Riviera pada Ahad menjelang sidang kemuncak berprofil tinggi mengenai pemeliharaan lautan, ketika negara-negara berdepan tekanan untuk mengambil pendirian lebih tegas terhadap penangkapan ikan berlebihan, pencemaran dan perlindungan marin.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran berhubung"darurat lautan" dan pemimpin yang berhimpun di Nice dijangka diminta membuat komitmen dari segi kewangan serta perlindungan lebih ketat terhadap laut.

Iklan
Iklan
Seekor paus bongkok yang tersangkut pada tali dilihat berenang dalam keadaan cemas di selatan Pelabuhan Sydney, Australia.

Persidangan Lautan PBB yang bermula Isnin bertujuan membawa perubahan penting tatkala negara-negara bergelut dengan isu perlombongan laut dalam, pencemaran plastik dan penangkapan ikan secara berlebihan, dalam suasana ketegangan geopolitik global.

"Kita mempunyai tanggungjawab untuk bertindak kerana sains sudah jelas dan fakta tersedia,” kata Presiden Perancis Emmanuel Macron di Monaco, ketika menghadiri acara pra-persidangan bersama Putera William dari Britain dan beberapa kenamaan lain.

Iklan

Seramai 60 ketua negara dan kerajaan dijangka hadir di Nice, termasuk Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Argentina Javier Milei.

"Bumi tidak lagi mampu menanggung janji yang tidak ditepati. Sama ada kita bertindak, atau planet ini bakal musnah,” kata Lula pada Ahad.

Iklan

Pada Ahad, Macron menaiki bot dari Monaco ke Nice dan melawat pavilion persidangan yang direka seperti perut paus gergasi.

Pada waktu malam, beliau dijadual menganjurkan jamuan makan malam berasaskan ikan Mediterranean bersama pemimpin-pemimpin tersebut.

Anggota bomba memakai sut perlindungan ketika mengumpul sampel pencemaran di pantai Vaux-sur-Mer berhampiran Royan, barat daya Perancis.

Sebanyak 5,000 anggota polis dikerahkan ke Nice sepanjang lima hari persidangan yang turut disertai saintis, pemimpin perniagaan dan aktivis alam sekitar dalam jumlah besar.

Kehadiran ramai dijangka daripada negara-negara kepulauan Pasifik, yang akan mendesak bantuan kewangan untuk menangani masalah kenaikan paras laut, sampah laut dan pencerobohan terhadap sumber ikan.

Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump, yang mencetuskan kemarahan global apabila mempercepat kelulusan perlombongan dasar laut antarabangsa dijangka tidak menghantar sebarang delegasi.

Pemerhati alam sekitar memberi amaran bahawa sidang ini yang tidak akan menghasilkan perjanjian yang mengikat secara undang-undang bakal berisiko menjadi"sekadar cakap kosong” sekiranya pemimpin gagal membentangkan cadangan konkrit untuk memulihkan kesihatan laut.

Britain pada Ahad mengumumkan niat untuk mengenakan larangan separa terhadap kaedah penangkapan ikan yang merosakkan dasar laut, dikenali sebagai 'bottom trawling' atau pukat tunda.

Sementara itu, Greenpeace menyambut baik langkah itu dalam kenyataan mereka, tetapi menyifatkannya sebagai"sangat lewat”.

Sabtu lalu, Macron memaklumkan bahawa Perancis akan menghadkan amalan kaedah pukat tunda di beberapa kawasan perlindungan marin milik negara itu, namun dikritik kerana tindakan itu tidak memadai.

Negara-negara juga akan didesak untuk menyalurkan dana yang masih belum dipenuhi bagi mencapai sasaran melindungi 30 peratus kawasan lautan dunia menjelang 2030, iaitu satu matlamat yang dipersetujui hampir 200 negara pada tahun 2022.

"Kita telah cipta mitos kononnya kerajaan tidak ada duit untuk pemuliharaan laut. Hakikatnya, wang itu ada. Yang tidak ada ialah kehendak politik,,” kata Pengarah Campaign for Nature, Brian O'Donnell.

Sehingga kini, hanya sekitar lapan peratus daripada lautan dunia dilindungi di bawah zon pemuliharaan marin dan lebih sedikit yang benar-benar dilindungi secara menyeluruh.

Awal minggu ini, Samoa mengisytiharkan 30 peratus kawasan perairan negara itu sebagai kawasan perlindungan dengan menubuhkan sembilan taman marin baharu. - AFP