LAPORAN muka depan Sinar Harian pada Isnin, mengenai syarikat telekomunikasi (telco) yang diarahkan untuk menyerahkan data peribadi pengguna kepada kerajaan telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat.
Ia membangkitkan persoalan penting berkaitan keselamatan maklumat, hak privasi individu dan keperluan kepada sistem perlindungan data yang lebih mantap.
Dalam dunia digital hari ini, data peribadi merangkumi lebih daripada sekadar nombor telefon atau alamat. Ia boleh melibatkan lokasi, corak komunikasi, penggunaan aplikasi dan maklumat kewangan.
Maka, sebarang bentuk akses atau perkongsian maklumat itu perlulah dilakukan secara telus, beretika dan berdasarkan justifikasi undang-undang yang jelas.
Kita memahami bahawa pihak kerajaan mempunyai tanggungjawab besar dalam menjaga keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat, termasuk melalui kerjasama dengan sektor teknologi dan telekomunikasi.
Namun begitu, perlindungan hak pengguna dan prinsip kepercayaan antara rakyat dengan pihak berkuasa juga wajib dijaga sebaik mungkin.
Apa yang penting ialah adanya garis panduan yang telus dan mekanisme semak dan imbang yang membolehkan akses data secara terkawal dan sah.
Keyakinan rakyat terhadap pengurusan data amat penting bagi mengelak berlaku persepsi negatif terhadap penyalahgunaan maklumat.
Sehubungan itu, langkah ke hadapan yang boleh dipertimbangkan ialah memperkukuh Akta Perlindungan Data Peribadi sedia ada agar lebih responsif terhadap perkembangan semasa, termasuk memperluas skop perlindungan terhadap semua sektor, termasuk sektor awam.
Cadangan penubuhan satu badan bebas pemantau data seperti Suruhanjaya Data Negara juga wajar dikaji demi menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam pengendalian data rakyat.
Kerajaan dan syarikat telco perlu terus menjalin komunikasi terbuka dengan pengguna, beri jaminan bahawa sebarang maklumat peribadi akan dilindungi dan hanya digunakan untuk tujuan sah.
Yang pastinya, rakyat Malaysia semakin peka terhadap isu privasi dan keselamatan digital.
Oleh itu, pengurusan data peribadi yang beretika bukan sahaja akan memperkukuh kepercayaan rakyat, malah memperlihatkan komitmen negara terhadap prinsip tadbir urus baik dan tanggungjawab sosial dalam era digital.