Peluru di tempat awam isyarat bahaya

Iklan
Isu pemilikan senjata api haram sering dikaitkan dengan penyeludupan rentas sempadan, pasaran gelap serta pengaruh jenayah terancang. Gambar hiasan.

RENTETAN beberapa kes tembakan yang dilaporkan mutakhir ini sekali lagi mencetuskan persoalan besar mengenai tahap keselamatan awam dan sejauh mana senjata api haram beredar dalam masyarakat.

Walaupun Malaysia tidak berdepan masalah pemilikan senjata api secara meluas, setiap insiden yang berlaku memberi isyarat jelas bahawa ancaman ini wujud dan semakin berani menonjol ke permukaan.

Iklan
Iklan

Terbaharu kes tembak dilaporkan berlaku pada malam Ahad di mana seorang lelaki maut ditembak dalam kejadian di sebuah restoran makanan segera.

Disember lalu dua individu warga tempatan ditembak di Jalan Rasah berhampiran Tol Port Dickson.

Iklan

Beberapa kes kebelakangan ini menunjukkan bagaimana senjata api digunakan dalam pertikaian peribadi, kegiatan jenayah dan konflik antara kumpulan.

Lebih membimbangkan adalah ada mangsa yang tidak terlibat secara langsung turut menjadi korban akibat tembakan rambang atau salah sasaran.

Iklan

Kejadian sebegini bukan sahaja mengorbankan nyawa, malah menghakis rasa selamat orang awam yang sebelum ini menganggap insiden tembakan sebagai kes terpencil.

Isu pemilikan senjata api haram sering dikaitkan dengan penyeludupan rentas sempadan, pasaran gelap serta pengaruh jenayah terancang.

Senjata ini mudah berpindah tangan tanpa dikesan dan hanya muncul apabila digunakan dalam jenayah.

Keadaan ini juga mendedahkan kelemahan jika penguatkuasaan hanya tertumpu selepas insiden berlaku, bukannya mencegah dari awal.

Justeru, peningkatan kes tembakan perlu dilihat sebagai amaran awal kepada tahap keselamatan dalam negara.

Tanpa tindakan menyeluruh, senjata api haram berpotensi menjadi ‘alat biasa’ dalam menyelesaikan konflik, sekali gus menormalisasikan keganasan dalam masyarakat.

Penyelesaian menuntut pendekatan berlapis, termasuk memperketat kawalan sempadan, memperkukuh risikan dan perkongsian maklumat antara agensi, serta tindakan tegas terhadap pemilikan dan pengedaran senjata api haram.

Pada masa sama, peranan masyarakat juga penting untuk menyalurkan maklumat awal. Jika isu ini terus dipandang remeh, risiko insiden tembakan akan kekal menghantui keselamatan negara.