IPOH - Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam nahas tragis meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik di sini, pada Isnin, telah tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keterangan pemilik dashcam tersebut akan diambil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.
"Setakat ini, rakaman dashcam itulah yang kita peroleh dan kita akan teruskan dengan mengambil keterangan pemilik dashcam terbabit.
"Berdasarkan rakaman itu, dapat dilihat bagaimana bas tersebut meluncur laju dan lebih memburukkan keadaan apabila penghadang jalan menembusi ke dalam bas dari arah hadapan, sekali gus menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.
Terdahulu, tular satu video rakaman kamera papan pemuka memaparkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar UPSI dipercayai dipandu dalam keadaan laju dan membahayakan.
Berdasarkan rakaman pendek berdurasi 40 saat yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Hanz Hanz, bas berwarna hijau tersebut dilihat memotong kenderaan ketika melalui selekoh sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan raya.
Menerusi video sama, bas tersebut turut berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Alza yang berada di hadapannya.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, seramai 15 pelajar disahkan maut manakala selebihnya cedera dan sedang dirawat di HRPB, Hospital Gerik, Hospital Taiping dan Hospital Baling.
Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Jerteh, Besut, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjung Malim.