SHAH ALAM – Model kecerdasan buatan (AI) Grok kini tidak lagi dapat diakses oleh pengguna susulan sekatan sementara yang dikenakan terhadap platform itu berkuat kuasa pada Ahad.
Semakan Sinar Harian pada Isnin mendapati laman terbabit tidak dapat dicapai.
Iklan
Iklan
Menurut maklumat yang tertera pada pelayar internet, laman https://grok.com/ berkemungkinan sedang mengalami gangguan sementara atau telah dipindahkan secara kekal ke alamat web yang lain.
Kod ralat ERR_CONNECTION_ABORTED turut dipaparkan pada platform berkenaan.
Pada Ahad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada Grok AI bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa hari yang sama.
Dalam kenyataan MCMC, tindakan itu diambil susulan penyalahgunaan Grok yang berulang kali digunakan untuk menjana kandungan lucah dan kandungan seksual eksplisit.
Menurut kenyataan itu, langkah terbabit juga diambil berikutan kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak, walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC.