Doktor rugi lebih RM880,000 angkara pelaburan saham tidak wujud

Iklan
Mangsa ditawarkan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan antara 18 hingga 22 peratus, selain keuntungan sehingga 500 peratus - Foto: CANVA

KUANTAN - Seorang doktor kerugian lebih RM880,000 selepas terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi laman Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 44 tahun itu pada mulanya berurusan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan telah dimasukkan dalam satu kumpulan dikenali sebagai Aura Wealth Navigation.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mangsa kemudian ditawarkan skim pelaburan dikenali sebagai TNB Aura yang menjanjikan pulangan antara 18 hingga 22 peratus selain keuntungan sehingga 500 peratus sekiranya sasaran pelaburan bagi 24 jenis saham dapat dicapai.

"Tertarik dengan tawaran itu, bermula dari 8 November 2025 hingga 7 Januari lepas, mangsa telah membuat sebanyak 21 transaksi pindahan wang ke dalam lima akaun bank berbeza yang didaftarkan atas nama beberapa syarikat berkaitan menggunakan pinjaman peribadi, pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan Tabung Haji.

Iklan

"Mangsa hanya menerima keuntungan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan berjumlah RM1,000 sebelum gagal menerima sebarang pulangan seterusnya seperti yang dijanjikan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

Iklan