SUV rempuh tembok Plaza Tol Sungai Dua, lelaki Pakistan maut

Iklan
Perodua Aruz terbabas dan merempuh tembok di Plaza Tol Sungai Dua.

KEPALA BATAS - Seorang lelaki warga Pakistan maut manakala rakannya parah selepas kenderaan jenis Perodua Aruz yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh tembok di Plaza Tol Sungai Dua di sini, malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.43 malam itu, mangsa merupakan pemandu kenderaan yang juga warga Pakistan maut di lokasi kejadian manakala rakannya berusia 42 tahun cedera parah.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.43 malam sebelum sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi pada jam 10.59 malam, didapati sebuah Perodua Aruz terbabas dan merempuh tembok plaza tol, menyebabkan dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang.

Iklan

“Seorang mangsa iaitu penumpang telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, mangsa kedua yang merupakan pemandu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas kebombaan pada jam 11.15 malam dengan bantuan pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran.

Iklan

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Tiada butiran lanjut mengenai mangsa yang meninggal dunia," katanya lagi.

Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.07 tengah malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Operasi tersebut turut melibatkan bantuan agensi luar termasuk polis, KKM, Polis Bantuan Lebuhraya serta PBS Bagan Ajam dan PBS Kepala Batas.