UPSI sedia satu staf, satu keluarga bantu pelajar terlibat nahas bas - Naib Canselor

Iklan
Md Amin hadir bagi meninjau perkembangan nahas yang melibatkan pelajar UPSI di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Isnin. Foto Bernama

IPOH - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyediakan bantuan seorang kakitangan bagi setiap keluarga pelajar yang terlibat dalam kemalangan meragut 15 nyawa di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penyediaan seorang staf satu keluarga itu bagi memastikan waris serta mangsa mendapat bantuan sewajarnya, sehingga semua urusan selesai.

Iklan
Iklan

"Kita sediakan pelbagai bantuan termasuk penginapan kepada keluarga mangsa. Kita juga akan bantu dari segi lain-lain yang kita mampu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, 13 mangsa yang maut dihantar ke HRPB dan dua lagi ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Iklan

Md Amin berkata, sudah menjadi kebiasaan, pelajar akan menyewa khas bas untuk pulang ke kampus selepas bercuti.

"Ia amalan biasa, terutama pelajar yang jaraknya jauh, mereka berkumpul di satu tempat dan menyewa sebuah bas untuk pulang ke kampus selepas bercuti,” katanya.

Iklan

Noor Hisam pada sidang media memaklumkan bas terbabit yang membawa 42 pelajar UPSI itu disewa khas oleh pelajar tersebut, sebagai inisiatif untuk pulang ke kampus dari Jerteh, Terengganu ke kampus utama UPSI di Tanjung Malim, Perak. - Bernama