SHAH ALAM - Semua 'duyufurrahman' terutama jemaah haji mempunyai amanah besar sebagai ejen penyatuan untuk memperkukuh saf umat Islam selepas selesai menunaikan rukun Islam kelima itu di tanah suci Makkah.
Pesanan itu disampaikan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Mohd Shafiq Sahimi, semasa mentadabbur ayat satu hingga lima surah al Saff dalam program Arafah #QuranHour 2025, pada Jumaat.
Mohd Shafiq berkata, himpunan sempena Hari Arafah adalah satu mesyuarat agung tahunan (AGM) terbesar yang menyatukan berjuta umat Islam dari seluruh dunia tanpa sebarang perbezaan sama ada dari segi pangkat, kedudukan dan keturunan untuk mendengar satu khutbah sama.
"Perhimpunan di padang Arafah bukan sekadar simbolik himpunan seluruh umat manusia di Padang Mahsyar selepas kiamat nanti, malah ALLAH SWT ingin mengajar kita supaya umat Islam meneruskan penyatuan berkenaan selepas pulang ke tanah air masing-masing kelak
"Kenapa mereka tidak boleh berbuat demikian dan menjadi pengukuh saf perpaduan dan mengangkatnya satu agenda untuk mewujudkan umat Islam terbaik selepas pulang Malaysia nanti," katanya.
Beliau juga menegaskan, semangat kesatuan yang dizahirkan di Arafah perlu diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat, khususnya di Malaysia yang memiliki pelbagai latar belakang dan cabaran.
"Jangan pulang dengan semangat kelompok atau ideologi sempit. Haji bukan tiket merasa lebih suci, tapi satu amanah untuk memperkukuh saf umat Islam yang lebih besar,” tambahnya.
Beliau juga menjelaskan ayat kelima surah al Saff pula menerangkan mengenai peranan peranan hati sebagai kompas hidup seseorang individu Muslim
Katanya, jika hati seseorang itu terpesong daripada mengingati Allah, maka kehidupan akan mudah tersasar dan menjadi punca perpecahan.
"Ayat kelima surah al Saff menyebut tentang hati yang dipesongkan oleh ALLAH SWT. Hati yang rosak akan membawa kerosakan kepada masyarakat dan ummah,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pula berkata, ibadah Haji bukan sekadar rukun Islam kelima, malah merupakan simulasi hari akhirat yang mengajar umat Islam tentang kesabaran, ketakwaan dan pengorbanan sebenar sebagai tetamu ALLAH atau duyufur Rahman.
Fazrul berkata, surah Al-Hajj mengingatkan manusia untuk bertakwa kepada ALLAH SWT dan menggambarkan goncangan hari kiamat sebagai sesuatu yang amat dahsyat seolah-olah memberi peringatan tentang tujuan sebenar perjalanan ke tanah suci.
Menurutnya, pakaian ihram menyimbolkan kesamaan dan kerendahan diri sebagaimana semua manusia kelak akan dikumpulkan di Padang Mahsyar, tanpa mengira darjat atau pangkat atau keturunan.
Ujarnya, Haji juga digambarkan sebagai jihad bagi wanita berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menjelaskan bahawa haji mabrur adalah bentuk pengorbanan terbesar buat wanita, yang perlu meninggalkan rumah, anak-anak dan keselesaan demi menunaikan perintah Allah.
"Kesusahan seperti kepanasan, kelewatan bas dan khemah yang sempit bukan untuk menyeksa, tetapi sebagai ujian tarbiah untuk membina redha dan pergantungan kepada ALLAH," ujar beliau.