Kos sara hidup: Ubah gaya hidup atau sistem harga tidak adil?

Iklan
Orang ramai mahu kerajaan beri perhatian serius dalam menangani kos sara hidup. - Gambar kecil: Muhamad Nuruddin, Mohd Jazri, Norhafiza dan Mohamad Shahrul

KOS sara hidup kini menjadi isu utama yang menghimpit rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira golongan muda, keluarga berpendapatan sederhana mahupun warga emas.

Tekanan ini bukan hanya melibatkan kenaikan harga barangan harian, tetapi juga impak terhadap gaya hidup, perancangan kewangan dan kesejahteraan psikologi rakyat secara keseluruhan.

Iklan
Iklan

Perbincangan mengenai kos sara hidup sering kali disederhanakan menjadi satu pendekatan mudah seperti menasihatkan rakyat supaya ‘berjimat’ atau ‘ubah gaya hidup’.

Walaupun nasihat ini ada asasnya, namun ia sering dilihat sebagai menyalahkan pengguna sepenuhnya, tanpa menilai faktor sistemik yang menyebabkan harga keperluan meningkat atau pendapatan rakyat tidak seimbang dengan kos hidup harian.

Iklan

Isu kos sara hidup bukan sekadar soal siapa yang paling pandai berjimat atau siapa yang boleh mengubah gaya hidup.

Sebaliknya ia merupakan satu cabaran kompleks yang memerlukan pemahaman mendalam, pendekatan menyeluruh dan kerjasama dalam kalangan semua pihak.

Iklan

Ikuti pandangan rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi dengan lebih tenang dan rasional dalam Pendapat Rakyat - Kos sara hidup: Ubah gaya hidup atau sistem harga tidak adil?

Ramai sudah lama berjimat, bukan baru semalam

Seorang pekerja swasta, Muhamad Nuruddin Mohd Nor, 30, berkata, adalah tidak adil untuk terus menyarankan rakyat supaya berjimat kerana hakikatnya ramai telah lama mengamalkan gaya hidup sedemikian.

Menurutnya, walaupun dia cuba mengurangkan perbelanjaan seperti makan di luar dan menangguhkan kehendak peribadi, kos keperluan asas seperti sewa rumah, makanan dan pengangkutan tetap membebankan.

“Masalah utama ialah pendapatan tidak bergerak seiring dengan kos hidup. Walaupun harga dikatakan stabil, pendapatan kami masih hampir sama seperti beberapa tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, kenaikan harga sebelum ini telah membentuk harga asas baharu yang terpaksa ditanggung setiap bulan.

“Berjimat ada hadnya kerana kita hanya boleh mengurangkan kehendak, bukan keperluan asas,” ujarnya.

Rakyat perlu sesuaikan diri

Bagi Mohd Jazri Ikmal Hijaz, seorang pengarah syarikat swasta berusia 40-an, rakyat perlu lebih realistik dan menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi semasa.

Menurutnya, perubahan sistem harga bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat, justeru rakyat perlu mengawal perbelanjaan dan mencari sumber pendapatan tambahan.

“Banyak perbelanjaan harian boleh dikurangkan, terutama kekerapan makan di luar. Memasak di rumah bukan sahaja lebih jimat, malah lebih sihat,” katanya.

Beliau turut menyarankan pembelian barangan basah di pasar pagi atau pasar basah yang lazimnya menawarkan harga lebih rendah.

“Mengubah gaya hidup bukan tanda kalah, tetapi langkah bijak untuk terus bertahan,” katanya.

Ubah cara berbelanja

Sementara itu, seorang suri rumah, Norhafiza Musa, 45, berkata, kenaikan harga barangan memberi kesan besar terhadap perbelanjaan dapur dan keperluan keluarga.

Menurutnya, perancangan perbelanjaan seperti menyediakan menu mingguan membantu mengawal kos bulanan.

“Apabila beli ikut keperluan, kita tidak berbelanja mengikut emosi. Memasak di rumah juga jauh lebih menjimatkan,” katanya.

Dia berkata, walaupun kenaikan harga sukar dielakkan, masih terdapat ruang untuk mengawal sebahagian perbelanjaan harian.

Berjimat ada had

Ahli politik, Mohamad Shahrul Adnan, 33, pula berpandangan isu kos sara hidup tidak wajar diletakkan sepenuhnya di bahu rakyat.

Menurutnya, walaupun disiplin kewangan penting, terdapat had kepada keupayaan untuk berjimat, terutama apabila kos keperluan asas tidak seiring dengan pendapatan.

Beliau turut menekankan keperluan memastikan sistem harga lebih telus dan adil bagi mengurangkan tekanan yang ditanggung rakyat.

“Penyelesaian perlu melibatkan keseimbangan antara usaha membetulkan sistem dan pemerkasaan rakyat,” katanya.