Tindakan cabar fatwa dibimbangi boleh gugat institusi agama Islam - Exco Pemuda UMNO

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai rayuan SIS Forum cabar fatwa 19 Jun ini. (Gambar kecil: Shah Zanuriman.)

SHAH ALAM - Tindakan mencabar fatwa dan boleh dibatalkan melalui mahkamah dibimbangi memberikan implikasi jangka panjang terutama terhadap struktur serta institusi agama Islam di negara ini.

Exco Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, sekiranya fatwa boleh dicabar atau dibatalkan, umat Islam tidak lagi akan merujuk kepada alim ulama, namun meletakkan mahkamah sebagai penentu mengenai benar dan salah dalam ajaran agama.

Iklan
Iklan

"Apa yang membimbangkan saya ialah implikasi jangka panjang jika fatwa boleh dicabar dan dibatalkan begitu sahaja melalui mahkamah sivil.

"Hari ini mungkin satu fatwa, esok mungkin lebih banyak fatwa akan dibawa ke mahkamah atas alasan tidak bersesuaian dengan pemikiran moden.

"Apabila ini berlaku, kedudukan mufti, majlis agama negeri dan sistem fatwa yang selama ini menjadi panduan umat Islam akan hilang taring.

Iklan

"Ini bukan sekadar persoalan perundangan tetapi siapa yang kita percaya untuk membimbing umat Islam, para mufti atau mahkamah sivil?” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Untuk rekod, SIS Forum Malaysia sebelum ini telah mencabar keabsahan fatwa yang diwartakan pihak berkuasa agama negeri itu pada 17 Julai 2014 yang mengisytiharkan organisasi itu, mana-mana individu serta kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Iklan

Cabaran itu bermula di Mahkamah Tinggi pada 2020 dan kemudiannya dirayu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Mac 2023 yang secara majoriti menolak rayuan tersebut.

Bagaimanapun, SIS Forum meneruskan cabaran mereka dengan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang kini menanti keputusan muktamad pada pertengahan bulan ini.

Susulan itu, semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor diminta mengadakan solat hajat berhubung kes rayuan melibatkan SIS Forum (Malaysia) yang mencabar keabsahan fatwa yang mengisytiharkannya sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, masjid dan surau berkenaan dikehendaki untuk menunaikan solat Hajat selepas selesai melaksanakan solat Jumaat pada 6 dan 13 Jun 2025.

Mengulas lanjut, Setiausaha Pemuda UMNO Selangor merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang itu berkata, lebih membimbangkan apabila keadaan itu boleh membuka ruang kepada agenda pihak tertentu yang memperjuangkan fahaman asing atas nama hak asasi.

"Mereka mungkin membawa suara minoriti tetapi jika diberi ruang mencabar institusi agama, kesannya akan besar dan kekal. Ini bukan lagi soal satu badan bukan kerajaan (NGO) tetapi soal benteng keseluruhan umat Islam yang bakal dicerobohi.

"Kami tidak bermusuh dengan sesiapa tetapi kami jelas dan tegas dalam pendirian kami. Pemuda UMNO Selangor akan terus berdiri sebagai barisan hadapan mempertahankan maruah Islam dan institusinya.

"Kami percaya segala perubahan dan kemajuan boleh dibincang tetapi bukan dengan menolak asas agama. Kami akan kekal bersama institusi agama, dan kami akan terus memperjuangkan kefahaman Islam secara berhemah tetapi berprinsip,” ujarnya.