Berikut adalah teks Khutbah Arafah 1446H bertajuk Seruan Tauhid Dan Kesatuan Umat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Sidang jemaah yang dirahmati ALLAH,
Marilah kita bertakwa kepada ALLAH SWT dengan sebenar-benar takwa. Tunaikan segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang bertakwa ialah syurga yang penuh kenikmatan, sedangkan azab bagi orang yang mengingkari-Nya ialah neraka yang penuh seksaan yang mengerikan.
Pada hari yang penuh keberkatan ini, kita berhimpun di Tanah Suci ini sebagai satu simbol pengabdian, pengorbanan dan ketaatan kepada ALLAH SWT.
Ia sebuah peringatan terhadap makna sebenar kepatuhan, kesabaran dan keikhlasan dalam ibadah. Justeru, khutbah ini akan membawa kita menyelami kembali makna dan pengajaran besar di sebalik ibadah haji yang merupakan Rukun Islam kelima yang sedang kita laksanakan ini.
Sidang jemaah yang dikasihi ALLAH,
Ibadah haji bukanlah amalan baharu dalam syariat Islam. Ia mempunyai akar sejarah yang sangat panjang, bermula sejak zaman Nabi Ibrahim AS ALLAH SWT memerintahkan Nabi Ibrahim agar meninggalkan isteri dan anaknya, Hajar dan Ismail, di sebuah lembah yang tandus. Dalam ketaatan yang penuh yakin, Nabi Ibrahim tetap patuh melaksanakan perintah itu.
Peristiwa demi peristiwa berlaku termasuklah pencarian air oleh Hajar yang membawa kepada kemunculan air zamzam, pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, serta seruan haji yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim AS atas perintah ALLAH SWT melalui Surah al-Hajj ayat 27 yang dibacakan pada mukadimah khutbah tadi yang bermaksud:
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis- jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”.
Seruan ini terus bergema sehingga ke hari ini. Setiap tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia menyahut seruan ini, datang ke Baitullah untuk menunaikan ibadah haji dengan satu tujuan iaitu menuruti perintah Allah dan menyempurnakan rukun Islam dengan penuh keikhlasan dan pengabdian.
Ibadah haji yang disyariatkan pada tahun ke-9 Hijrah ini kemudiannya dimurnikan oleh Rasulullah SAW daripada segala bentuk amalan jahiliah, lalu dijadikan sebagai ibadah yang suci dan murni sebagaimana kita amalkan pada hari ini.
Para hadirin tetamu ALLAH yang dikasihi sekalian,
Sesungguhnya ibadah haji yang sedang ditunaikan oleh jutaan umat Islam ketika ini, bukanlah sekadar sebuah ritual, tetapi ia mengandungi pelbagai rahsia dan hikmah yang mendalam. Ia adalah satu maqasid besar dalam agama, yang mengangkat jiwa manusia kembali kepada fitrah keimanan dan penyembahan yang murni kepada ALLAH SWT.
Syeikh Abdul Wahab Abu Sulayman dalam karyanya"Maqasid Haji: Hikmah Di Sebalik Pensyariatannya”, menjelaskan bahawa antara hikmah utama ibadah haji dari sudut akidah ialah untuk memperteguh keimanan, menyuburkan zikir dan menyatukan hati manusia kepada keesaan ALLAH SWT.
Lihatlah, ketika bertawaf mengelilingi Kaabah, ketika lidah menyebut tasbih tanpa jemu, dan waktu mencium Hajarul Aswad dengan linangan air mata, semua itu bukan sekadar gerakan fizikal, tetapi manifestasi cinta dan pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya Yang Maha Agung. Itulah bukti bahawa hati ini masih hidup dengan tauhid.
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hajj ayat 26:
"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya):"Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku, dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang)”.
Lalu ibadah haji ini menjadi medan untuk memperbaharui janji tauhid, janji untuk tidak mensyirikkan ALLAH, menjauhkan diri dari segala bentuk kebatilan dan kembali kepada ajaran asli Nabi Ibrahim AS. Inilah roh haji yang mesti dihidupkan dalam jiwa umat
Islam, agar kita tidak kembali terjerumus dalam kegelapan jahiliah moden yang menghiasi syirik dengan nama kemajuan.
Sidang jemaah yang dirahmati ALLAH,
Tidak cukup dengan menyeru kepada tauhid, ibadah haji juga mendedahkan kepada kita betapa luasnya rahmat ALLAH SWT. Ia adalah ibadah yang penuh dengan kemudahan, bukan kesukaran. Segala rukun dan kaedahnya menunjukkan betapa ALLAH itu Maha Penyayang kepada hamba-Nya.
Lihatlah ALLAH membuka ruang fleksibiliti dalam berihram ada pilihan antara ifrad, qiran dan tamattu’. Lihat pula tempoh wuquf yang panjang, hukum sembelihan yang bersifat memudah dan pilihan pelaksanaannya yang pelbagai. Semua itu bukti bahawa Islam tidak memaksa di luar kemampuan.
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hajj, ayat 78:
"Dan Dia (ALLAH) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama”
Manakala dalam Surah al-Baqarah ayat 185:
"(Dengan ketetapan yang demikian itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”.
Sesungguhnya, rahmat ALLAH yang terzahir ini mengingatkan kita bahawa agama ini bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk membimbing dan menyelamatkan jiwa manusia. Maka janganlah kita memperberatkan agama ini dengan kejahilan atau sikap keras hati, tetapi hayatilah kelembutan dan kasih sayang Allah dalam setiap ibadah yang kita laksanakan.
Sidang jemaah yang dimuliakan,
Jika kita merenung dengan mata hati yang terbuka, kita akan melihat ibadah haji sebagai satu simbol penyatuan umat Islam sedunia. Lihatlah jutaan manusia dari pelbagai bangsa, warna kulit, latar budaya dan bahasa berhimpun di satu tempat, menghadap satu kiblat, menyebut satu nama iaitu ALLAH SWT.
Tiada pangkat, tiada kasta, tiada kemegahan dunia. Yang tinggal hanyalah dua helai kain putih, dan hati yang tunduk kepada Ilahi. Di sinilah Islam memansuhkan diskriminasi dan menegakkan keadilan sejati bahawa nilai seorang insan bukan pada rupa atau harta, tetapi pada takwa dan amal soleh.
Inilah maqasid sosial ibadah haji iaitu untuk menyatukan hati umat Muhammad SAW. Tanpa penyatuan, umat ini akan terus lemah, terpinggir dan kehilangan arah.
Hari ini, dunia menyaksikan perpecahan umat Islam di serata tempat akibat fahaman sempit, kepentingan diri dan hilangnya roh ukhuwah. Maka ambillah semangat haji ini untuk menyuburkan kembali nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan persaudaraan dalam umat. Tanpa penyatuan, tamadun akan runtuh. Dengan kesatuan, umat akan bangkit.
Sidang jemaah yang dirahmati ALLAH,
Sebagai umat yang bertamadun dan mencintai keamanan, saya menyeru agar kita menghayati nilai-nilai luhur yang dituntut sepanjang menunaikan ibadah haji:
Pertama, jagalah keselamatan diri, harta dan keluarga. Jangan cuai hingga mengundang bahaya yang merosakkan keseluruhan ibadah.
Kedua, tunaikan hak sesama manusia. Jangan pentingkan diri. Bersikap toleransi dan saling bantu-membantu. Hindari perbalahan dan pertelingkahan kerana semua itu hanya merosakkan roh haji.
Ketiga, peliharalah kebersihan dan jauhilah pembaziran. Bersyukurlah dengan nikmat dan amalkan sikap berkongsi.
Keempat, banyakkan istighfar. Mohonlah ampun dari Allah dengan hati yang benar-benar ingin berubah. Jadikan ibadah haji ini sebagai titik mula untuk menjadi hamba yang kembali kepada fitrah.
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 199:
"Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat
bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada ALLAH (dengan memohon ampun), sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba yang diterima haji, diampuni dosa, dan kembali ke tanah air sebagai insan yang bersih daripada noda bagaikan bayi yang baru dilahirkan serta mendapat ganjaran syurga sebagaimana janji-Nya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Tempoh waktu antara satu umrah dengan umrah yang seterusnya merupakan penghapus dosa, dan haji yang mabrur akan menatijahkan balasan syurga”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Akhirnya, renungilah firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 200-201:
Maksudnya:"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati ALLAH (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada antara manusia yang (berdoa dengan) berkata:"Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata:"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.
KHUTBAH KEDUA
Ya ALLAH, Tuhan Yang Maha Pengampun! Ampunilah segala dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dan dosa seluruh ahli keluarga kami. Dosa yang kami sedar mahupun yang kami lupa. Dosa yang tersembunyi dan yang terang-terangan. Sesungguhnya kami ini hamba yang lemah, penuh khilaf, dan amat berhajat kepada keampunan-Mu.
Ya ALLAH! Pandanglah kami dengan rahmat-Mu. Jangan Kau tinggalkan kami walau sekelip mata tanpa bimbingan-Mu. Tanamkan dalam hati kami cinta kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu. Kuatkan iman dan takwa kami agar kami tetap istiqamah dalam mentaati-Mu hingga akhir hayat.
Ya ALLAH! Selamatkan kami, keluarga kami, dan seluruh umat Islam daripada fitnah dunia yang menggoda dan mencabar. Berikan kami kekuatan dalam menempuh ujian-Mu dengan sabar dan redha. Berilah rezeki yang halal dan keberkatan hidup buat kami dan anak anak kami.
Ya ALLAH! Ringankan penderitaan saudara kami yang tertindas di Palestin dan di mana sahaja mereka berada. Kurniakan mereka kemenangan, kemuliaan dan keselamatan dengan rahmat-Mu yang luas.
Ya ALLAH! Akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah, dan tempatkan kami di syurga- Mu bersama para Nabi, siddiqin dan solihin. Jauhkan kami dan orang yang kami sayangi dari azab neraka-Mu yang pedih. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.