Miliki 1,240 buku tanpa kelulusan KDN, pekerja didenda RM4,000

Iklan
Abdul Amir (dua dari kiri) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Rabu.

HULU SELANGOR - Seorang pekerja sebuah syarikat pengedaran buku didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini pada Rabu, kerana memiliki 1,240 buku panduan solat tanpa kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), tahun lalu.

Abdul Amir Abdullah, 32, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Nurul Izzah Hasan Basri.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 1,240 buku 'A Guide to Salat' yang tidak mengikut kaedah panduan penulisan yang ditentukan oleh Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan Al-Quran KDN.

Iklan

Kesalahan didakwa dilakukan di premis sebuah syarikat pengedaran buku di Jalan Semarak, Bandar Utama Batang Kali di sini pada jam 2 petang, 15 Oktober 2024.

Pertuduhan dibuat Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Al-Quran 1986 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14(2) akta sama yang membawa hukuman, denda tidak boleh melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Ahmad Warith Jamal sementara tertuduh tidak diwakili peguam.