BUKIT KAYU HITAM - Aspek keselamatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam tidak boleh dipandang ringan susulan insiden tembakan individu tidak dikenali, pada Rabu.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kehadiran agensi itu yang baru berusia 14 bulan nyata memberi impak terhadap aspek penguatkuasaan termasuk operasi bersepadu dijalankan AKPS Bukit Kayu Hitam pada 15 Januari hingga 15 Februari lalu.
Menurutnya, rampasan bernilai RM3.1 juta yang dihasilkan hanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam itu mungkin telah memberi tekanan kepada pihak yang melanggar undang-undang.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seawal pagi tadi lagi telah menghubungi saya dan beritahu apa yang diperlukan oleh AKPS maklumkan kepada beliau untuk beliau usahakan.
“Maka, antara perkara yang kita lihat di sini adalah pegawai-pegawai AKPS tidak dibekalkan senjata api, itu satu skop yang mungkin boleh diperbaiki dalam masa terdekat dan juga jaket kalis peluru serta kelengkapan yang boleh menjamin keselamatan anak buah saya bekerja dengan lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bertemu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir yang nyaris ditembak dua lelaki bermotosikal berhampiran Masjid Al-Muhajirin, pagi ini.
Mohd Shuhaily turut mengadakan pertemuan tertutup dengan seluruh warga AKPS Bukit Kayu Hitam susulan insiden pertama yang menimpa agensi penguatkuasaan berkenaan.
Sementara itu, katanya, peringatan juga telah diberikan kira-kira empat minggu lalu kepada semua komander AKPS tentang beberapa ancaman dan ugutan jenayah terhadap pegawai dan anggota mereka.
“Kita ambil itu sebagai satu perkara yang perlu diberi perhatian dan pada pagi ini kita tak menjangkakan mereka akan bertindak sehingga ke tahap itu, dengan apa yang berlaku ini juga jelas dan ketara sememangnya ada orang yang betul-betul terjejas dengan penguatkuasaan yang sedang dilakukan.
“Ini kerana saya pasti tiada siapa yang sanggup melaksanakan perkara begitu sekiranya mereka tidak berasa tertekan, saya juga sampaikan perkara itu dalam pertemuan bersama pegawai dan anggota AKPS tadi bahawa apa yang mereka laksana dalam tempoh 14 bulan ini dibuat dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.
“Maka mungkin selama ini aktiviti-aktiviti (pihak melanggar undang-undang) yang biasa dilakukan kini sukar sehingga berkemungkinan menyebabkan ada tindak balas sedemikian,” katanya.
Dalam kejadian pada jam 5.40 pagi, Mohd Nasaruddin diserang dua lelaki berpistol yang menaiki motosikal dan mengekorinya ketika dalam perjalanan menunaikan solat Subuh.
Tembakan pertama dari jarak satu meter terkena bahagian pintu belakang sebelah kanan Proton X70 dipandu mangsa, sementara tembakan kedua melintasi beliau yang ketika itu membuka tingkap kenderaan utiliti sukan (SUV) itu.
Mohd Nasaruddin tidak mengalami sebarang kecederaan dan cuba mengejar kedua-dua suspek terbabit yang bertindak meloloskan diri ke arah Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, di sini.