PROGRAM Pekerjaan Sementara (MySTEP) yang diwujudkan untuk memberi peluang pekerjaan jangka pendek kepada graduan dan lepasan sekolah kini dilihat semakin tidak relevan dengan realiti ekonomi semasa.
Ini kerana graduan universiti yang menyertai skim berkenaan hanya menerima elaun RM2,100 sebulan manakala lepasan diploma dan STPM dibayar RM1,900.
Lulusan SPM pula hanya menerima RM1,700 sebulan dan setelah ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), gaji bersih mereka menjunam kepada sekitar RM1,500 hingga RM1,900 sebulan.
Angka ini jauh lebih rendah daripada kadar gaji wajar RM3,100 yang disarankan dalam Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan lebih malang berada di bawah paras kemiskinan tegar negara iaitu RM2,200 sebulan.
Ini secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana dasar yang pada asalnya bertujuan baik kini gagal untuk menawarkan kelangsungan hidup yang bermaruah kepada anak muda berpendidikan tinggi.
Lebih membimbangkan, peserta MySTEP menjalankan tugas sama seperti penjawat awam tetap, malah ada yang bekerja lebih sembilan jam sehari dan enam hari seminggu namun tidak menikmati faedah seperti elaun COLA, elaun perumahan atau tuntutan kerja lebih masa.
Apa yang berlaku hari ini menimbulkan persoalan, apakah nilai sebenar ijazah sarjana muda di mata kerajaan?
Seorang graduan yang menempuh empat tahun pengajian dan berhutang puluhan ribu ringgit pinjaman pendidikan, akhirnya dibayar hanya sedikit lebih tinggi berbanding gaji minimum sektor swasta untuk lepasan SPM iaitu RM1,700 sebulan.
Ini bukan sahaja tidak adil, malah menjejaskan semangat dan motivasi anak muda yang mahu menyumbang secara profesional kepada sektor awam.
Lebih memburukkan keadaan, tekanan kos sara hidup yang tinggi di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang menyebabkan ramai peserta MySTEP terpaksa bekerja sambilan selepas waktu kerja rasmi. Ini memberi implikasi besar kepada kesejahteraan mental, produktiviti dan kualiti hidup mereka.
Realitinya, skim MySTEP yang diperkenalkan bagi meredakan isu pengangguran pasca pandemik kini berdepan masalah struktur. Ia mula dilihat bukan sebagai batu loncatan kerjaya, tetapi sebagai simbol ketidakseimbangan sistem yang gagal menghargai nilai sebenar tenaga muda profesional.
Sudah tiba masanya kerajaan menilai semula pendekatan ini secara menyeluruh. Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan CUEPACS perlu duduk semeja untuk menetapkan kadar imbuhan yang lebih adil dan mencerminkan kemahiran serta kelayakan peserta MySTEP.
Jika kerajaan serius mahu menjadikan belia sebagai aset negara, pengiktirafan tidak boleh hadir dalam bentuk simbolik semata-mata. Ia mesti diterjemahkan melalui ganjaran dan penghargaan yang realistik dan setimpal.
Kerajaan tidak boleh lagi berlindung di sebalik istilah ‘sementara’ dan ‘latihan’ untuk mewajarkan gaji rendah. Dalam ekonomi moden, modal insan tidak boleh terus dipandang murah.