PUTRAJAYA – Teka-teki mengenai pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat terjawab apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melantik Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob menggalas jawatan tersebut.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri, pelantikan Muhammad Shahrul dimeterai menerusi Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan di Istana Negara yang berlangsung pada Selasa.
Ia disaksikan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Muhammad Shahrul,anak kelahiran Pahang, merupakan tokoh berpengalaman luas dalam dunia diplomatik dan pentadbiran awam. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1988 dan pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dari 2019 hingga 2022.
Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam perkhidmatan awam, beliau telah mewakili negara sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar dan Austria selain menyandang jawatan penting sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Pelantikan beliau ke Washington D.C. sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dilihat bertepatan dengan keperluan memperkukuh hubungan dua hala serta mempertingkat kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan dan keselamatan.
Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya juga pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat.
Di peringkat domestik, Muhammad Shahrul turut memainkan peranan penting sebagai Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN semasa Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada tahun 2015, selain pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) dan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.
Beliau juga berpengalaman luas dalam bidang hubungan antarabangsa menerusi penugasan diplomatik di beberapa perwakilan Malaysia termasuk di Vienna, Washington D.C dan Beijing.
Pelantikan beliau diyakini mampu memacu hubungan diplomatik Malaysia-AS ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan aspirasi negara dalam memantapkan peranan Malaysia di persada antarabangsa.
Sebelum ini, jawatan itu disandang Datuk Seri Nazri Aziz bermula 24 Februari 2023 sebelum tamat perkhidmatan pada Februari lalu.