Dari litar basikal ke dunia siasatan jenayah

Iklan
Omar (kanan) bergambar bersama rakan pasukan berbasikal negara.

KUALA LUMPUR - Bukan sahaja terlibat dalam tugas siasatan, risikan, dan detektif, namun Sub Inspektor (B) Omar Saad, 76, merupakan bekas pelumba basikal negara yang pernah merangkul pelbagai kejayaan antarabangsa.

Siapa sangka ia bermula dengan minat apabila dihadiahkan bapanya sebuah basikal chopper selepas lulus peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, minat terhadap sukan berbasikal bermula sejak zaman sekolah menengah lagi apabila perlu mengayuh sejauh lebih 10 kilometer (km) setiap hari dari rumah ke sekolahnya di Kota Setar, Kedah.

Omar berkhidmat dalam pasukan PDRM selama 36 tahun. (Kanan) gambar terkini Omar. FOTO: ROSLI TALIB

"Ayah membeli basikal jenis chopper berharga RM90 selepas saya lulus peperiksaan SRP pada ketika itu.

Iklan

"Selepas tamat persekolahan, saya mencuba nasib buat pertama kali dalam pertandingan lumba basikal di Alor Setar.

"Walaupun gagal menamatkan perlumbaan tersebut, tetapi ia tidak mematahkan semangat saya.

Iklan

"Dalam kejohanan kedua yang disertai di Kedah, saya berjaya meraih tempat ketiga,” katanya ketika ditemui di Majlis Reunion Otai IPD Ampang Jaya 2025 di Jalan Ampang, di sini baru-baru ini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, sejak itu beliau telah menyertai banyak kejohanan di dalam dan luar negara.

"Saya pernah memperoleh pingat perak pada Sukan Asia di Bangkok pada tahun 1970.

"Setahun kemudian, di Sukan SEAP (Sukan SEA) saya telah membantu skuad berbasikal kebangsaan mendapatkan dua pingat perak dalam acara 100km dan 180km berpasukan,” katanya.

"Pada Sukan SEAP yang keenam itu juga, saya telah menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 180km individu.

"Pada tahun 1972, saya membawa cabaran Malaysia di Olimpik Munich, Jerman. Saya telah melayakkan diri untuk memasuki acara berpasukan dan acara lepas beramai-ramai,” ujarnya.

Omar (kiri) berkongsi pengalaman dengan rakan sepasukan dalam Majlis Reunion Otai IPD Ampang Jaya 2025 di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Omar berkata, beliau meneruskan kecemerlangannya apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas di Sukan SEAP di Singapura pada tahun 1973.

"Pada tahun sama, saya menyumbangkan satu pingat gangsa di Asian Championship (ACC) dalam acara lepas beramai-ramai,” kongsinya.

Tambah Omar, beliau juga pernah mewakili Malaysia ke Sukan Asia di Tehran, Iran pada tahun 1974.

"Saya berjaya meraih pingat perak di Sukan SEAP ke-8 di Bangkok dalam acara trek 4,800 meter,” katanya.

Bapa kepada lapan anak itu berkata, beliau menjalani latihan mengayuh basikal secara bersendirian dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim atau Slim River, Perak.

"Pada ketika itu, tiada jurulatih khusus atau sains sukan, saya akan berlatih pada waktu petang untuk menguji kemahiran, kemampuan dan stamina diri,” ujarnya yang kemudian mengambil keputusan untuk bersara sebagai pelumba basikal pada tahun 1979.

Jelasnya, segala pengalaman yang ada kini dicurahkan kepada pelumba-pelumba pelapis.

Omar menyertai Olimpik Munich 1972.

"Saya pernah dipanggil untuk menjadi Jurulatih Skuad Elit Kebangsaan pada 1984 dan mengetuai skuad berkenaan ke Mannheim, Jerman Barat.

"Saya turut menjadi jurulatih skuad kebangsaan pada Sukan SEA ke-13 di Bangkok, Sukan Asia di Seoul dan juga Sukan SEA ke-15 di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tambahnya, pelbagai kejayaan telah dicipta selaku pengurus pasukan terutamanya di Sukan SEA Singapura pada 2015.

"Skuad berbasikal di bawah kendalian saya telah menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas negara dalam acara berbasikal lebuh raya apabila mereka berjaya menghadiahkan dua pingat emas dan tiga pingat gangsa di temasya itu.

"Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad berbasikal kebangsaan berjaya menyumbangkan 13 emas, 12 perak, dan sembilan gangsa,” ujarnya.

Omar (dua dari kanan) bergambar bersama pasukan berbasikal.

Kejar tokan dadah

Omar memulakan kerjaya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 1 Mac 1969.

Beliau bersara daripada pasukan Sang Saka Biru pada Oktober 2005 dan kini melibatkan diri sepenuh masa dalam Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia sebagai bendahari dan Persatuan Berbasikal Negeri Kedah Darul Aman sebagai setiausaha.

"Perkara yang paling utama adalah kita perlu menjalankan tugas dengan integriti, ikhlas dan amanah serta menjaga nama baik PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, biarpun sudah lebih 40 tahun kes berlalu, insiden penangkapan seorang tokan hingga membawa kepada penemuan satu guni ganja yang disorokkan di kawasan bukit sekitar Ampang masih terpahat kukuh dalam ingatan Omar.

Omar pernah menjadi jurulatih untuk pasukan berbasikal PDRM.

"Kisah itu berlaku semasa saya berkhidmat sebagai detektif di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

"Pada ketika itu, saya bersama rakan setugas, Inspektor Balakrishnan melaksanakan rondaan pada waktu malam.

"Kami menaiki sebuah kereta, apabila tiba di kawasan bukit di Ampang, saya terdengar bunyi siulan yang mencurigakan apabila turun dari kenderaan sebelum melihat seorang lelaki berusia 30-an sedang menghampiri dengan sebuah motosikal.

"Menyedari kehadiran kami, lelaki ini terus melarikan diri sebelum kami berpecah untuk mengejar suspek,” katanya.

Ujar beliau, tidak lama kemudian suspek berjaya ditahan namun berlaku pergelutan dengan lelaki itu.

"Ketika dikejar, saya susah hendak tangkap suspek, tiap kali saya cuba pegang tangan dia pasti terlepas, licin seolah-olah dilumuri minyak,” katanya.

Bagaimanapun, dengan dibantu rakan setugasnya, suspek berjaya ditahan.

"Kami membawa suspek untuk pemeriksaan di motosikalnya sebelum menemui satu bungkusan dadah.

"Dan selepas itu suspek telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, hasilnya, kita menemui satu guni berisi ganja di kawasan semak di bukit itu,” ujar Omar.

Keratan akhbar berkaitan kejayaan Omar.

Provokasi suspek

Bercerita lanjut, anak jati Kota Setar itu berkata, satu lagi pengalaman tugas yang masih segar dalam ingatannya ialah operasi tangkapan di sebuah rumah di Lembah Klang bertukar kecoh apabila keluarga suspek bertindak melakukan provokasi dan menghalang tugas anggota polis.

Menurutnya, polis telah menerima maklumat mengenai seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga seorang penagih dadah disyaki memiliki sepucuk pistol.

Ujarnya, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, sepasukan lima anggota polis telah hadir untuk menahan lelaki berkenaan, namun semasa tangkapan hendak dilaksanakan, ahli keluarga suspek bertindak agresif dengan bersenjatakan kayu, sambil menjerit dan menghalang anggota polis.

Jelasnya, tindakan tersebut bukan sahaja mengganggu tugas penjawat awam, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya telah memberikan penerangan kepada keluarga suspek dan berjaya mengawal keadaan, lelaki ini kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

"Hasil soal siasat, kita berjaya merampas sepucuk pistol yang disembunyikan di sebuah flat di Taman Melati, Ampang,” jelas beliau.

Selain itu, kata Omar, beliau juga pernah ditugaskan semasa insiden kekecohan 13 Mei 1969.

Jelasnya, waktu itu dirinya sedang menjalani latihan di Pulapol Kuala Lumpur.

"Ketika dalam tempoh latihan yang baru masuk dua bulan, saya telah diarahkan bertugas mengawal keselamatan dalam peristiwa 13 Mei.

"Kemudian selepas peristiwa hitam ini berakhir, saya kembali meneruskan latihan selama empat bulan,” ujarnya.

Omar yang berkhidmat selama 36 tahun itu berkata, beliau memilih kerjaya sebagai anggota polis kerana minat yang mendalam terhadap pasukan beruniform serta mahu berbakti dan menjaga keamanan negara.

"Setelah tamat latihan saya bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields sebagai petugas am, sebelum ditugaskan di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur pada 1971.

"Pada tahun 1981, saya ditugaskan di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (BJSJN), IPD Klang setelah berkelayakan menjadi seorang detektif,” katanya.

Beliau berkata, tugasan ketika itu adalah mencari maklumat dan melaksanakan risikan terhadap sindiket pengedaran dadah.

"Kemudian, rakan sepasukan membuat serbuan dan tangkapan terhadap ahli sindiket termasuk pengedar dadah,” katanya.

Omar berkata, beliau bersama rakan sepasukan berjaya memberkas seorang dalang sindiket pengedar dadah dan merampas dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM10,000 ketika itu.

"Modus operandi sindiket ini adalah mengedarkan dadah yang diseludup dari negara jiran kepada tokan kecil kemudian dijual kepada penagih,” jelas Omar.

Beliau kemudian ditugaskan di IPD Ampang pada 1 Januari 1982 setelah unit detektif ditubuhkan.

Menurut Omar, sukar untuk menjadi seorang detektif yang bagus jika tidak menguasai ilmu kepolisan dan mempunyai pemikiran yang cerdik, selain itu mereka juga tidak boleh mendedahkan diri ketika melaksanakan tugasan penyamaran.