Malu tengok perangai sesetengah tetamu kenduri kahwin

Iklan
Hidangan pencuci mulut kini menjadi pilihan tuan rumah ketika kenduri kahwin bagi disajikan kepada para tetamu. Gambar hiasan

MUSIM cuti sekolah bermula selama 12 hari sehingga Isnin depan. Jadi ramailah mengambil kesempatan mengadakan majlis kenduri perkahwinan.

Tak kurang juga yang pergi melancong sehingga ke Hat Yai di negara jiran. Tak hairanlah jika kesesakan cukup teruk boleh berlaku di kompleks imigresen di Wang Kelian, Perlis.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan baru-baru ini ada menerima undangan ke majlis perkahwinan kenalan di Negeri Sembilan. Sedap juadah yang disajikan. Paling menyelerakan sudah tentu daging salai masak lemak cili api ditambah pula dengan rebung.

Ada juga meja bufet makanan sampingan seperti bihun sup, aiskrim dan yang paling trending ketika ini dessert buffet. Aneka kek warna-warni serta pelbagai jenis kuih sama seperti yang terdapat di bufet hotel.

Iklan

Terkejut Merak Jalanan tengok perangai orang tak tahu adab dan etika bila berdepan juadah digelar pencuci mulut itu. Sudah nama pun pencuci mulut, jadi makanan manis itu perlu diambil selepas selesai menjamah hidangan berat.

Ia disediakan untuk menyedapkan mulut selepas makan juadah utama yang penuh resipi rempah-ratus. Ini tidak, dijadikan pencuci mulut itu sebagai makanan berat, penuh sepinggan sampai tak fikir langsung orang belakang.

Iklan

Kepada orang kita, belajarlah etika pemakanan atau setidak-tidaknya terbitkanlah rasa malu dalam diri supaya tidak mempamerkan sikap buruk yang memalukan di khalayak umum.

Hormat juga tuan rumah yang berusaha untuk memberi kepuasan kepada semua jemputan yang hadir. Nak makan tak salah tapi yang silap itu jika tingkah laku itu kurang manis.