SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua masjid di negeri Selangor membacakan doa khas selepas solat Jumaat hari ini bagi memohon kesembuhan buat Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Perkara itu dimaklumkan melalui hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office.
Iklan
Iklan
Titah doa khas ini susulan laporan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Brunei, Sultan Brunei dimasukkan ke pusat rawatan berkenaan selepas mengalami keletihan berikutan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung baru-baru ini.
Sultan Sharafuddin turut menyeru seluruh rakyat Selangor agar mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan berterusan buat Sultan Hassanal Bolkiah yang kini berada di bawah pemantauan pasukan perubatan.